10,000 petani belum terima benih padi sah

0
102

ALOR SETAR: Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PESAWAH) mendakwa hampir 10,000 petani di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) belum menerima benih padi sah.

Ia sekali gus menyebabkan proses menanam padi untuk musim baharu tidak dapat dimulakan lagi ketika ini.

Pengerusi PESAWAH, Fuad Yaacob, berkata sejak pihaknya mendedahkan masalah kelewatan dialami petani bulan lalu, terdapat perubahan apabila pengedar tunggal benih iaitu Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mula kerap menghantar benih.

Katanya, beliau difahamkan sehingga kini, lebih 70 peratus atau kira-kira 20,000 petani menerima benih padi sah diedar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) masing-masing, berbanding hanya 20 peratus pada pertengahan bulan lalu.

“Bagi fasa pertama, ramai petani terima benih padi dan memulakan proses menanam, tetapi masih ada 30 peratus petani belum terima benih sedangkan tarikh akhir menanam adalah 30 April lalu.

“Kita dimaklumkan, petani fasa pertama yang belum terima benih akan terima bersama petani fasa kedua yang tarikh akhir menanam pada 14 Mei ini.

“Seperti yang kita jangka, kelewatan memang berlaku kerana sehingga kini, ada petani fasa pertama belum mula menanam sedangkan fasa ketiga sepatutnya bermula minggu lalu,” katanya kepada BH, hari ini.

Pada 21 April lalu, BH melaporkan lebih 30,000 pesawah MADA berdepan masalah kelewatan benih padi sah, sedangkan musim penanaman baharu bagi fasa pertama sepatutnya bermula pada 1 April lalu.

Keadaan itu berlaku berikutan NAFAS dikatakan gagal membekalkan benih padi sah ke kawasan MADA dan sebahagian besar skim tanaman padi di Semenanjung.

Mengulas lanjut, Fuad berkata, kelewatan menanam akan menyebabkan petani terpaksa menanggung peningkatan kos apabila perlu melakukan proses membajak tanah lebih daripada sekali.

“Proses penghantaran memang perlahan, kebanyakan PPK tempah lebih 10,000 beg benih padi sah, tetapi yang sampai cuma 3,000 sedangkan setiap satu hektar sawah secara purata memerlukan tujuh beg benih.

“Petani sepatutnya mempunyai benih padi mencukupi sebaik kerja membajak tanah selesai. Tanah siap dibajak perlu ditanam padi segera, jika lewat petani perlu bajak semula tanah menyebabkan kos meningkat.

“Untuk membajak semula tanah, petani perlu sewa jentera dan upah pemandu. Macam apa yang jadi tahun ini, ramai petani terpaksa tanggung kos lebih kerana benih padi lewat sampai,” katanya.

Mengulas mengenai benih padi sah dikesan disimpan bagi tujuan dijual di sebuah premis di Jalan Sanglang, Kubang Pasu, Khamis lalu, beliau berkata perkara itu memang berlaku setiap tahun kerana permintaan terhadap bekalannya sentiasa tinggi.

Katanya, disebabkan itu beliau yakin berlaku penyelewengan dalam urusan pembekalan benih padi sah kerana ada pihak cuba mengaut keuntungan atas angin hasil penjualan benih subsidi di pasaran komersial.

“Kita sudah kata perkara ini banyak kali, dulu sebelum NAFAS ambil alih, benih padi sentiasa ada tetapi harganya mahal hingga RM60 setiap 20 kilogram menyebabkan petani minta kerajaan bagi subsidi.

“Sekarang apabila kerajaan beri subsidi, berlaku pula penyelewengan. Tetapi apa keadaan sekali pun, petani juga yang menanggung akibatnya,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here