2 bazar Ramadan diberi amaran

0
120

KEPALA BATAS: Bazar Ramadan di Kepala Batas dan Penaga, dekat sini diberikan notis amaran apabila pemeriksaan mendapati penganjurannya tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata pemantauan yang dijalankan mendapati penganjur gagal memberi maklumat lebih tepat kepada peniaga berhubung SOP sehingga menyebabkan berlaku kekeliruan.

Berikutan itu, katanya, kedua-dua penganjur diberikan notis amaran oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk memberi peluang kepada penganjur memperbaiki semula SOP selain memberi taklimat lebih terperinci kepada peniaga dari sudut apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika berniaga.

“Pada awalnya kita melihat kemasukan pengunjung amat cantik ditambah ada yang menggunakan sistem nombor giliran bagi mengehadkan jumlah pengunjung dalam satu-satu masa.

“Namun, malangnya apabila berada di dalam tiada penjarakan fizikal selain ada gerai yang mempunyai lebih dua peniaga, ..ini melanggar SOP ditetapkan,” katanya selepas meninjau dua bazar Ramadan itu, hari ini.

Jelasnya, antara kesalahan lain yang dikesan didapati ada juga pengunjung yang tidak menggunakan aplikasi MySejahtera, mencatat nama yang tidak betul pada buku catatan disediakan dan juga isu pemakaian apron pakai buang oleh peniaga.

“Disebabkan itu notis diberikan dan kita akan membuat pemeriksaan semula di kedua-dua bazar ini esok,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here