321,331 terima dos pertama vaksin COVID-19

0
86

KUALA LUMPUR: Seramai 321,331 individu, majoritinya petugas barisan hadapan, menerima suntikan pertama vaksin bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), sehingga semalam.

Angka terbaharu itu dimaklumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi ciapan di Twitter berdasarkan maklumat rasmi daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

Berdasarkan jumlah itu, Selangor merekodkan penerima tertinggi dengan 38,632 individu, disusuli Perak (34,666), Sarawak (32,028), Sabah (30,433), Kuala Lumpur (29,937), Pahang (25,525), Johor (24,749) dan Kedah (21,171).

Pulau Pinang pula merekodkan 18,465 individu menerima suntikan, sementara Kelantan (15,877), Terengganu (14,949), Negeri Sembilan (12,865), Melaka (8,251), Perlis (7,276), Putrajaya (4,165) dan Labuan (2,342).

PICK dilaksanakan menerusi tiga fasa, bermula dengan kumpulan petugas barisan hadapan, disusuli kumpulan berisiko tinggi dan rakyat berusia 18 tahun ke atas, bermula 24 Februari lalu.

Ia bagi memastikan antara 70 hingga 80 peratus rakyat di negara ini menerima vaksin menjelang Februari tahun hadapan, sekali gus membentuk imuniti kelompok sekali gus mengekang penularan COVID-19.

Sebanyak lima kaedah pendaftaran disediakan kerajaan, masing-masing menerusi dalam talian atau secara manual untuk orang ramai mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Berdasarkan Buku PICK dikeluarkan JKJAV, dua kaedah secara dalam talian adalah pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera atau laman web khas diĀ www.vaksincovid.gov.my.

Bagi pendaftaran secara manual pula, terdapat tiga kaedah membolehkan masyarakat mendaftar iaitu dengan menghubungi talian hotline, hadir ke klinik kesihatan awam dan swasta atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Maklumat janji temu seperti tarikh dan tempat vaksinasi akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera, panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas.

Proses vaksinasi bagi mereka yang mendaftar secara dalam talian mahu pun manual adalah sama merangkumi 18 langkah.

sumber: berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here