4 ditahan cuba sogok polis RM30,000

0
397

KUALA LUMPUR: Empat lelaki didakwa cuba menyogok polis dengan wang tunai RM30,000 supaya membebaskan lapan rakan mereka yang ditangkap kerana disyaki terbabit kegiatan perjudian dalam talian, semalam.

Kejadian berlaku ketika empat individu berusia antara 25 hingga 39 tahun itu datang ke sebuah unit apartmen di Jalan Changkat Perak, di sini, yang diserbu pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, kira-kira jam 3 pagi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata terdahulu tiga warga tempatan, termasuk seorang wanita, dan lima lelaki warga China berusia antara 27 hingga 32 tahun ditahan dalam serbuan itu.

“Ketika serbuan dilakukan, pasukan JSJ IPD Dang Wangi didatangi empat lelaki tempatan yang memperkenalkan diri sebagai rakan kepada individu ditangkap dalam serbuan itu.

“Suspek didakwa memaklumkan tujuan mereka datang ialah untuk menawarkan wang sebanyak RM30,000 bagi membebaskan semua tangkapan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, anggota polis di lokasi bertindak menolak tawaran itu, sekali gus memberi amaran kepada suspek supaya tidak mengganggu tugas mereka dan serbuan yang dijalankan.

“Bagaimanapun, suspek didakwa berdegil dan terus cuba menawarkan wang itu. Justeru, anggota menahan semua suspek berkenaan serta merampas wang tunai berjumlah RM30,000 yang dibawa dalam beg kertas dan beg silang.

“Siasatan cubaan merasuah ini akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mohamad Zainal berkata, pasukan JSJ IPD Dang Wangi kemudian meneruskan serbuan di dua lagi unit apartmen terbabit kira-kira jam 4 pagi itu dan menahan empat lelaki warga China

Dalam keseluruhan serbuan terbabit, beliau berkata, polis turut merampas 10 telefon bimbit, lima kad sim, 108 daun terup, kad akses dan wang tunai RM4,524.

Kesemua 12 individu disyaki terbabit kegiatan perjudian itu ditahan mengikut Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here