500 lagi kekesongan kerja di Pasar Borong Selayang

0
158
Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Sambutan di luar jangkaan apabila semakin ramai warga kota yang mahu menerokai pekerjaan dalam bidang peruncitan dan jualan bahan mentah di Pasar Borong Selayang.

Ini terbukti apabila lebih 20 pemohon diterima bekerja di pasar borong utama ibu kota itu bagi mengisi kerja kosong l ditinggalkan warga asing ekoran operasi pihak berkuasa sejak beberapa minggu lalu.

Dengan gaji bermula RM60 hingga RM100 sehari, sudah pasti tawaran itu menjadi rebutan khususnya mereka yang buntu selepas diberhentikan kerja ekoran pandemik maut Covid-19.

Berkongsi perkembangan terbaru itu, peniaga barangan runcit, Saharudin Dorani berkata, dia bersama peniaga lain kini giat mencari warga tempatan yang berminat untuk bekerja di pasar borong.

Menurutnya, dengan gaji yang relevan, tawaran ini perlu digunakan sebaik mungkin warga tempatan supaya ‘menakluk’ semula sektor pekerjaan di Pasar Borong Selayang yang dimonopoli warga asing sejak belasan tahun lalu.

“Setiap hari lebih 20 individu datang mencari kerja dan diterima terus kerana peniaga memang memerlukan tenaga kerja segera.

“Bekerja di pasar tidak sama keadaannya di tempat berhawa dingin namun itu perlu diketepikan demi mencari sesuap nasi khususnya di saat ramai yang hilang pekerjaan,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau yang juga Setiausaha Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Melayu Wilayah Persekutuan (PPPPPMWP) Cawangan Pasar Harian Borong Selayang, Kuala Lumpur berkata, sehingga kini lebih 300 individu sudah diambil bekerja serta merta di pelbagai bahagian jualan di pasar borong berkenaan.

Katanya, sehingga kini 500 kekosongan yang perlu diisi bagi membolehkan pasar borong berkenaan beroperasi pada tahap optimum.

“Masih ada peniaga yang belum memulakan perniagaan kerana ketiadaan pekerja dan kami selaku persatuan akan membantu mencari mereka yang berminat.

“Kebanyakan individu yang memohon kerja sebelum ini bekerja dalam industri perhotelan dan pelancongan yang terjejas teruk kerana Covid-19,” katanya.

Tambahnya, peluang pekerjaan masih banyak di pasar borong ini dan ia harus diisi warga tempatan agar tiada lagi monopoli warga asing berlaku selepas ini.

Sumber: Harian Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here