7 pegawai, anggota JPJ Melaka antara direman kerana rasuah

0
436

AYER KEROH: Tujuh pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka antara 11 individu yang direman lima hingga tujuh hari bagi membantu siasatan kes rasuah kerana dipercayai terbabit dalam sindiket melindungi pemandu lori membawa muatan berlebihan.

Perintah tahanan reman terhadap semua suspek termasuk empat orang awam itu dikeluarkan Majistret Lee Kim Keat.

Semua suspek berusia 23 hingga 57 tahun itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan difahamkan, pegawai JPJ yang ditahan itu membabitkan pelbagai gred jawatan termasuk pegawai kanan, manakala orang awam pula sebagai proksi.

Mereka dipercayai menerima kira-kira RM150 hingga RM3,000 sebulan dengan nilai keseluruhan membabitkan kira-kira RM1.64 juta dan perbuatan itu dipercayai dilakukan sejak 2019 hingga 2020.

Difahamkan, antara modus operandi dikesan ialah pegawai berkenaan tidak akan mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang melakukan kesalahan selepas menerima suapan yang dimasukkan dalam akaun bank peribadi atau proksi secara bulanan.

Selain Melaka, SPRM turut melakukan operasi besar-besaran menerusi Ops Sukat di empat negeri lain iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here