98 terkandas di Indonesia di bawa pulang

0
43

TAWAU : Seramai 98 individu termasuk 83 rakyat Malaysia yang terkandas di Nunukan, Kalimantan Utara, Indonesia sejak 30 Mac lalu selamat tiba di Terminal Feri Tawau (TFT), pagi ini.

Kumpulan terbabit menaiki feri khas MV Labuan Expres itu tiba di jeti TFT kira-kira jam 10.45 pagi sebelum diiring masuk ke Kompleks Kastam Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS).

Mereka terdiri daripada 45 lelaki, 44 wanita, sembilan kanak-kanak, termasuk 15 warga Indonesia yang juga isteri, suami atau ibu bapa kepada pasangan (jaminan) warga Malaysia.

Kesemua mereka turut menjalani saringan kesihatan, termasuk pemeriksaan suhu yang dikendalikan kakitangan pejabat kesihatan sebelum pasport mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk disahkan.

Proses penghantaran pulang hari ini adalah siri ketiga selepas kerajaan negeri memberikan kebenaran khas kepada rakyat Malaysia yang terkandas di Indonesia selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan sejak 18 Mac lalu dan sudah memasuki fasa kedua.

Ia diselaraskan Pejabat Ketua Menteri Sabah bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan kerjasama Keduataan Malaysia di Pontianak Indonesia, Konsulat Republik Indonesia, serta agensi kerajaan lain termasuk PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Maritim Malaysia, Angaktan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) dan TFT.

Terdahulu, laporan akhbar pada 3 April lalu memaparkan nasib beberapa individu terkandas di negara jiran itu melalui rayuan salah seorang daripada mereka, Ahmad Rizamsyah Mohd Noor, 28, yang memuat naik rakaman video melalui facebook dan menjadi tular.

Sementara itu, tinjauan mendapati sebanyak empat trak tentera, dua lori APM, selain masing-masing sebuah lori milik PDRM, MPT dan JKR digunakan untuk membawa kesemua mereka termasuk barang peribadi ke Pusat Kuarantin di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau.

Difahamkan, setakat hari ini seramai 128 individu yang terkandas di Indonesia sudah dibawa pulang secara berasingan termasuk 24 jemaah tabligh masing-masing pada 21 dan 29 Mac lalu.

Sumber-Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here