Ayam penelur di Linggi tiada bakteria SE

0
140

KUALA LUMPUR: Keputusan ujian diambil daripada ladang ayam penelur di Linggi, Negeri Sembilan yang mana stok bekalan telurnya ditarik semula oleh pengimport di Singapura, bulan lalu menunjukkan tiada bakteria Salmonella enteritidis (SE) dikesan.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) memaklumkan keputusan itu diperoleh selepas ujian dijalankan ke atas sampel calitan kloaka, calitan najis, sampel telur, makanan dan air minuman yang diambil daripada ladang ayam di Ladang Agrikultur Linggi.

“DVS juga ingin memaklumkan bahawa program pemantauan Salmonella ke atas 276 ladang ayam penelur seluruh negara dipertingkatkan bagi memastikan bekalan dan keselamatan telur yang dipasarkan.

“Pengguna dinasihatkan supaya memastikan telur dibeli adalah bersih, tiada pencemaran najis, tidak retak, disimpan di tempat yang sesuai dan dimasak dengan sempurna sebelum dimakan,” katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.

Pada 20 Mac lalu, Agensi Makanan Singapura (SFA) mengarahkan beberapa pengimport untuk menarik balik telur dari Ladang Agrikultur di Linggi selepas mengesan adanya SE dalam produk terbabit.

Portal berita CNA melaporkan, ini kali kedua dalam masa seminggu SFA menarik balik telur dari ladang di Malaysia kerana pencemaran SE.

Pada 12 Mac lalu, penarikan balik diumumkan untuk telur dari Lay Hong Berhad Layer Farm Jeram.

Namun hasil ujian DVS dijalankan daripada ladang ayam penelur di Jeram itu menunjukkan, tiada bakteria SE dikesan.

Pada masa sama, menurut DVS, pencemaran SE boleh berlaku di peringkat ladang disebabkan amalan

penternakan kurang baik, aspek biosekuriti dan kebersihan ladang atau di sepanjang rantaian pemasaran disebabkan pengendalian telur kurang bersih.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here