Bakau dicemari tumpahan minyak cuma boleh hidup setahun

0
142

PORT DICKSON: Pokok bakau yang dicemari tumpahan minyak lazimnya mampu bertahan antara enam hingga 12 bulan sebelum mati secara semula jadi.

Pokok berkenaan akan menunjukkan tanda kesukaran untuk hidup dalam tempoh itu, dengan daunnya bertukar menjadi kekuningan.

Pengkaji pokok bakau dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Aldrie Amir, berkata lazimnya kesan tumpahan minyak menjadi dominan ketika air pasang yang menyebabkan keseluruhan akar pokok ditenggelami air laut yang dicemari minyak.

“Kelebihan pokok bakau ialah ia mampu memerangkap sampah dan membantu memelihara kebersihan pantai tetapi apabila akarnya diselaputi lapisan minyak tebal, akarnya tidak mampu bernafas.

“Oleh sebab minyak sudah masuk ke dalam tanah, cadangan menanam pokok bakau baharu tidak relevan kerana jika ditanam, ia akan mati,” katanya ketika ditemui di lokasi pokok bakau dicemari tumpahan minyak di Hutan Simpan Kekal Tanjung Tuan, Pantai Cermin, di sini semalam.

Dr Aldrie adalah antara pihak yang memberikan taklimat kepada EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka, Datuk Seri Abd Ghafaar Atan yang melawat lokasi kejadian susulan laporan muka depan BH mengenai hutan pesisir pantai Tanjung Tuan nazak akibat sisa tumpahan minyak kapal, Ahad lalu.

Turut memberikan taklimat ialah Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka, Rosli Osman; Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Khirun Nizam Abdul Rahim dan Pegawai Laut Jabatan Laut Wilayah Tengah (Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka), Reduan Mohd Ali.

Dr Aldrie berkata, tempoh dua tahun diperlukan bagi membuat kajian mengenai pokok bakau yang dicemari tumpahan minyak, terutama dari aspek sejauh mana minyak memasuki lapisan bumi.

“Kawasan seluas 1.2 hektar yang terjejas akibat tumpahan minyak perlu dirizabkan sebagai kawasan kajian dan tidak boleh diganggu oleh sebarang aktiviti selain penyelidikan,” katanya.

Sementara itu, Khirun Nizam berkata, Hutan Simpan Kekal Tanjung Tuan seluas kira-kira 80 hektar adalah milik kerajaan Melaka tetapi dikelilingi daerah Port Dickson dalam pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan.

Tumpahan minyak kapal di Tanjung Tuan berlaku pada 12 Oktober tahun lalu manakala kerja pembersihan sisa minyak di kawasan seluas 1.2 hektar dimulakan pada 14 Oktober 2020.

Operasi pembersihan itu ditamatkan pada 19 Oktober lalu selepas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Alor Gajah berpuas hati dengan Laporan Penilaian ‘Shorelines Cleanup Assessment Technique’ (SCAT).

sumber:berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here