Bangunkan bakat tenaga kerja tempatan

0
124

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia mengadakan dialog dengan pemain industri bagi membincangkan langkah mewujudkan peluang pekerjaan dan pembangunan bakat tenaga kerja tempatan.

Dalam satu kenyataan hari ini, sesi berkenaan yang dianjurkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) bertujuan mendapatkan input daripada wakil industri berhubung pendekatan dan strategi pembangunan modal insan di Malaysia.

Menurut kementerian itu, penganjuran dialog itu juga selaras dengan matlamat kerajaan untuk melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi dalam menghadapi kesan akibat penularan wabak pandemik COVID-19.

Syarikat yang hadir ialah First Solar, Intel, Micron, Google, Microsoft, Schlumberger, Roche, Scicom, KPMG, Nestlé, dan Asia Pacific University of Technology & Innovation.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew serta Ketua Bahagian Hubungan Industri dan Pembangunan Bakat Graduan, Mohamad Nazrul Aziz pula bertindak sebagai moderator sesi berkenaan.

“Sesi dialog bersama industri dipengerusikan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Jamil Rakon serta pegawai-pegawai kanan kementerian dan juga Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Antara isu yang dibincangkan dalam dialog tersebut adalah berkaitan potensi penciptaan peluang pekerjaan, dasar dan strategi untuk pembangunan bakat tenaga kerja negara dan keutamaan pengambilan warga tempatan dalam industri yang diwakili oleh peserta dialog.

“Pihak Kementerian terbuka untuk mendengar dan menerima pandangan industri berhubung sokongan yang diperlukan bagi memudahcara pembangunan modal insan tempatan.

“Pandangan dan maklum balas yang dikongsi dalam sesi ini akan dapat mengukuhkan lagi usaha kerajaan dalam memastikan majikan mendapat bantuan dan sokongan yang diperlukan ke arah memperkukuhkan kesejahteraan pasaran pekerjaan negara,” menurut kenyataan itu.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here