Bayi hidang jantung berlubang perlu bantuan RM35,000

0
180

KUALA LUMPUR: Sejak dilahirkan pada 1 Februari lalu, bayi lelaki berusia dua bulan, Nyeo Jia Ho yang menderita penyakit jantung berlubang jenis Atrial Septal Defect dan Patent Ductus Arteriosus (PDA) terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) berikutan komplikasi kesihatan serius dihadapinya.

Ibu bayi, Ang Suh Huwa, 36, berkata sukar untuk menggambarkan perasaannya kerana sehingga sekarang dia tidak dapat mendukung, menyusukan dan menjaga anak kelimanya itu selepas disahkan menghidap penyakit itu selepas dua minggu kelahirannya.

“Jia Ho lahir pra matang, ketika itu usia kandungan baru 36 minggu dan kerana keadaannya itu, dia terpaksa ditempatkan di NICU.

“Berat badannya kini cuma 1.66 kilogram, selain sering kelihatan lesu sehinggalah doktor memberitahu ia disebabkan peredaran darah di jantungnya tidak lancar,” katanya ketika diwawancara, hari ini.

Suh Huwa yang juga suri rumah berkata, anaknya itu perlu menjalani pembedahan segera bagi mengelakkan pelbagai komplikasi kesihatan menyerang terutama berkaitan fungsi jantungnya.

“Doktor memberitahu, jika anak saya tidak menjalani pembedahan segera, boleh menyebabkan jantungnya gagal berfungsi dan tumbesarannya juga akan terbantut.

“Saya sangat berharap anak saya pulih dan dapat hidup normal seperti kanak-kanak yang lain,” katanya.

Sementara itu, bapa kepada Jia Ho, Nyeo Kok An, 39, berkata pendapatannya sebagai penggali kubur yang tidak menentu menyukarkan untuk menanggung kos rawatan dan pembedahan.

“Pendapatan setiap bulan tidak menentu kerana jika ada kematian, barulah saya dipanggil untuk menggali kubur, dengan tiga anak lelaki masih bersekolah.

“Jadi, saya amat berterima kasih sekiranya ada masyarakat yang prihatin untuk membantu bagi urusan pembedahan ini,” katanya.

Bayi berkenaan memerlukan bantuan kewangan berjumlah RM35,000 bagi menjalani pembedahan menutup lubang pada jantungnya di Sunway Medical Centre.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP melalui akaun Maybank 5141-0532-3170 dengan menyertakan nama pesakit.

Bagi sumbangan menggunakan cek, nama pesakit perlu ditulis di belakang cek berkenaan dan dihantar ke Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat 4, Anjung Riong, Balai Berita, No 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here