Bonsai import dikesan ada serangga perosak

0
113

PELABUHAN KLANG: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor menahan sebuah kontena membawa 5,000 pokok tanaman hiasan selepas dikesan mengandungi serangga perosak di Pelabuhan Klang Barat di sini, kelmarin.

Pengarahnya, Zamri Hashim, berkata tanaman hiasan jenis podocarpus macrophyllus (bonsai) dari Taiwan itu ditahan menerusi pemeriksaan rutin oleh pegawai penguat kuasa MAQIS pada jam 3.30 petang.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, penguat kuasa MAQIS menemui serangga perosak pada setiap pokok berkenaan tetapi belum dikenal pasti dan masih dalam siasatan.

“Tanaman hiasan seberat kira-kira 6,690 kilogram itu dianggar bernilai RM18,350 dan ia dibawa masuk bagi pasaran tempatan (nurseri),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zamri berkata, kontena terbabit ditahan untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 kerana mengimport produk pertanian dipercayai mempunyai perosak, penyakit atau bahan cemar.

“Kesalahan berkenaan memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, denda maksimum RM150,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here