CCTV pantau Kuantan Art Street elak vandalisme

0
161

KUANTAN: Tidak mahu hasil karya 36 lukisan mural di Kuantan Art Street menjadi mangsa vandalisme, dua sistem kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di sepanjang laluan yang terletak antara lorong Jalan Mahkota dan Jalan Besar, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata pemasangan CCTV itu kerana Kuantan Art Street kini menjadi lokasi tumpuan orang ramai.

Sejak dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada pemasyhuran Kuantan sebagai bandar raya 21 Februari lalu, katanya, kira-kira 50,000 orang sudah mengunjungi Kuantan Art Streeet.

“Bagi memastikan lukisan ini tidak menjadi mangsa vandalisme, CCTV dipasang yang dipantau sepenuhnya oleh bahagian keselamatan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

“Kita bimbang lukisan ini diconteng seperti berlaku di Shah Alam, Selangor apabila lukisan gambar Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjadi mangsa vandalisme.

“Oleh itu itu, kita minta orang ramai yang berkunjung ke Kuantan Art Street ini tidak melakukan perbuatan tidak senonoh kerana mereka diperhatikan oleh CCTV,” katanya kepada media selepas meninjau Kuantan Art Street, malam tadi.

Turut sama dalam tinjauan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin; Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar dan Setiausaha MBK, Datuk Hamiza Hamzah.

Mengulas kehadiran 50,000 pengunjung di Kuantan Art Street, Mohd Sharkar berkata, kerajaan negeri percaya jumlah itu akan meningkat selepas semua aktiviti pelancongan dibenarkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, Kuantan Art Street kini antara lokasi tumpuan orang ramai apabila berada di bandar raya Kuantan.

“Pada masa sama, orang ramai diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang terutama penjarakan fizikal apabila berada di sini,” katanya.

sumber:berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here