COVID-19: Penduduk dalam PKPD Sungai Lui kekurangan bekalan air bersih

0
60
Sungai Lui

KUALA LUMPUR: Kekurangan bekalan air bersih adalah di antara masalah utama dialami sebahagian penduduk tujuh kampung sekitar Sungai Lui, Hulu Langat, yang kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Penduduk, Mohammad Azian Abdul Aziz, 48, mendakwa masalah kekurangan bekalan air bukan perkara asing buat penduduk sekitar Sungai Lui, namun semakin kerap dialami selepas beberapa hari PKPD dilaksanakan.

“Kadang-kadang air paip cuma ada pada waktu sebelah pagi sehingga tengah hari sebelum bekalan terputus daripada petang sehingga malam dan ia berlaku setiap hari.

“Perkara ini agak menyusahkan penduduk di sini termasuk kami yang tinggal di Taman Desa Kerinci, Kampung Batu 21 kerana menyulitkan keperluan air untuk kegunaan harian termasuk untuk mandi dan membasuh pakaian,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini penduduk tidak ada masalah dengan arahan PKPD kerana barangan asas keperluan harian seperti makanan terus dibekalkan daripada semasa ke semasa dan mencukupi.

“Sekiranya ada penduduk yang memerlukan bantuan barang keperluan tertentu seperti lampin dan susu bayi atau ubat-ubatan, perkara itu akan diajukan kepada wakil penduduk atau ketua kampung melalui pesanan mesej di aplikasi WhatsApp.

“Kami semua akur dengan arahan PKPD untuk duduk di rumah dan diberi bantuan sewajarnya oleh pihak berwajib sehingga tempoh PKPD tamat nanti, namun yang merunsingkan adalah masalah bekalan air bersih sahaja,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Batu 20, Mohd Ramdan Kamso ketika dihubungi BH, hari ini memaklumkan masalah bekalan air paip memang perkara lumrah yang dihadapi penduduk di sekitar Sungai Lui sejak dahulu lagi.

“Akibat masalah itu, sebahagian besar penduduk di sini memasang sistem paip sendiri untuk mendapatkan punca bekalan air dari bukit serta Sungai Gabai.

“Sejak kebelakangan ini kerap berlaku hujan lebat dan kerana PKPD, penduduk tidak dapat keluar untuk membersihkan tempat takungan dan jaring yang digunakan untuk menapis air berkenaan, mungkin ia tersumbat dengan daun-daun menyebabkan aliran air tersumbat,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan membangkitkan perkara itu pada mesyuarat harian bersama agensi-agensi tempatan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Tanah dan Galian dan polis yang diadakan setiap hari agar satu penyelesaian dapat dicari.

Selain itu, Mohd Ramdan yang juga Ketua Kampung Batu 20, berkata pihaknya bersama ketua kampung lain kini bersama agensi-agensi berkaitan turut terbabit menyelaraskan pengagihan barangan keperluan kepada hampir 4,000 penduduk di tujuh kampung yang terjejas.

“Sekiranya ada penduduk yang memerlukan barangan tertentu seperti lampin dan susu bayi, lampin orang dewasa atau tuala wanita, mereka hanya perlu berikan butiran seperti nama dan alamat rumah serta senarai barang diperlukan kepada ketua-ketua kampung masing-masing.

“Pihak MPKK dan beberapa sukarelawan akan memaklumkan kepada JKM dan barangan itu akan dihantar ke rumah penduduk berkenaan,” kata beliau.

Selain itu, katanya untuk kes-kes kecemasan yang berkaitan dengan kesihatan, penduduk diarahkan menghubungi terus talian kecemasan 999 dan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menghantar bantuan sewajarnya termasuk ambulans

KUALA LUMPUR, 30 Mac — Anggota polis trafik menahan sebuah motosikal ketika sekatan jalan raya yang dilakukan di Kampung Sungai Lui Batu 21 hari ini. Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor, mulai tengah malam tadi melibatkan tujuh kampung iaitu dua perkampungan Orang Asli dan lima perkampungan Melayu.
Perintah yang berkuatkuasa mulai tengah malam 30 Mac hingga 13 April itu melibatkan 3,918 orang penduduk merangkumi 700 rumah. Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat 71 kes positif COVID-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz AnNabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui, Hulu Langat.
–fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ahad lalu, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKPD di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, berkuat kuasa sehingga 13 April, selepas KKM mengesahkan ada 71 kes positif jangkitan COVID-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz AnNabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui.

Seramai 3,918 penduduk merangkumi 700 rumah daripada tujuh kampung terbabit dalam arahan PKPD ini.

Sumber: BERITA HARIAN

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here