Cucu ugut sembelih nenek ditahan

0
250

PASIR GUDANG: Polis menahan seorang lelaki dipercayai mengugut untuk membunuh neneknya di sebuah rumah di Kampung Batu 16, Sungai Tiram, Ulu Tiram, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, berkata wanita berusia 75 tahun itu didatangi suspek berusia 23 tahun dalam keadaan marah kerana gagal mendapatkan wang sambil mengacukan sebilah pisau kira-kira jam 6 petang semalam.

“Pengadu mendakwa suspek memaklumkan akan menyembelihnya jika tidak memberikan wang. Pengadu yang dalam ketakutan melarikan diri ke rumah jiran meminta pertolongan.

“Jiran kemudiannya menghubungi polis. Susulan itu, sepasukan polis dari Balai Polis Ulu Tiram menahan suspek kira-kira jam 12.05 tengah malam tadi, selain merampas sebilah pisau berukuran panjang 24 sentimeter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tujuan suspek meminta wang masih dalam siasatan, selain semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah dan dua rekod jenayah dadah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari bermula hari ini sehingga 26 April ini bagi siasatan lanjut,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here