Curi motosikal: Geng Langau Biru tumpas

0
130

GEORGETOWN: Geng Langau Biru yang disyaki terbabit kegiatan mencuri motosikal dan menjual komponennya sejak lima tahun lalu, tumpas apabila polis memberkas tujuh ahli kumpulan itu dalam dua serbuan di Labu Besar, Kulim, Khamis lalu.

Malah, sindiket diketuai suspek lelaki berusia 25 tahun itu disyaki turut mencuri motosikal dalam kawasan kediaman polis di Ayer Itam, di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata kesemua suspek berusia 18 hingga 34 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam, hasil risikan dan maklumat diterima.

Beliau berkata, penangkapan itu sekali gus membawa kepada penemuan 25 rangka motosikal yang dibuang ke dalam Sungai Sedim.

“Semua rangka motosikal terbabit yang dilaporkan hilang di sekitar daerah Timur Laut, Barat Daya, Seberang Jaya, Kulim dan Sungai Petani, Kedah, berjaya dikeluarkan dari sungai itu dengan bantuan Unit Selam Polis Marin,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, hasil siasatan mendapati suspek juga disyaki mencuri pelbagai jenis motosikal dan menjual komponennya mengikut permintaan pelanggan.

Beliau berkata, kesemua suspek berasal dari Kedah dan disyaki memasuki Pulau Pinang untuk melakukan kegiatan mencuri motosikal sejak 2016.

“Mereka disyaki meleraikan komponen motosikal dicuri sebelum menjualnya kepada kenalan terdekat dengan lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya.

Soffian berkata, hasil pemeriksaan mendapati suspek utama sindiket itu memiliki 17 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Beliau berkata, kesemua suspek direman hingga hari ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan.

Selain itu, katanya, polis sedang mengesan ahli sindiket Geng Langau Biru yang masih bebas.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, sebanyak 381 kes mencuri motosikal membabitkan kerugian bernilai RM1.5 juta, dilaporkan di daerah Timur Laut sepanjang tempoh tahun lalu.

“Bagi tempoh antara Januari hingga Mac tahun ini pula, 51 kes sudah dilaporkan dengan jumlah kerugian sebanyak RM200,000,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here