Doa bekas penghulu uzur sentuh hati Muhyiddin

0
149

KOTA SAMARAHAN: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengakui beliau tersentuh dengan doa seorang bekas penghulu yang sedang uzur ketika beliau mengunjungi warga emas itu dalam program Ziarah Kasih di Kampung Sindang, di sini.

Menurut Perdana Menteri, Aris Johari, 74, mendoakan supaya beliau dapat meneruskan usahanya selama ini untuk membantu rakyat.

“Doa rakyat biasa kepada pemimpin adalah luar biasa. Pemimpin seperti kita pun sentiasa mendoakan rakyat agar sentiasa dalam keadaan baik (dengan) kehidupan mereka cukup sempurna,” kata Muhyiddin semasa berucap pada Majlis Perjumpaan bersama Pemimpin Masyarakat di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak, di sini.

Terdahulu, Muhyiddin berserta isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman melakukan Ziarah Kasih dengan mengunjungi beberapa penduduk di kampung berkenaan.

Mereka diiringi Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta beberapa Menteri Persekutuan dan negeri.

Sementara itu, seorang lagi warga emas, Selha Slet, 67, yang diziarahi Perdana Menteri berkata, beliau bagaikan tidak percaya apabila melihat pemimpin nombor satu negara tersebut datang ke rumahnya dan meluangkan masa kira-kira 20 minit berbual dengannya dan keluarga.

“Hati saya berdebar-debar sejurus mendapat tahu bahawa Perdana Menteri hendak datang ke rumah. Selama ini cuma tengok dia dalam televisyen sahaja, tapi hari ini depan mata sendiri, rasa sangat bertuah, rezeki saya dia sudi datang ke rumah ini.

“Perdana Menteri kita sangat peramah serta prihatin dengan rakyat,” kata wanita warga emas itu yang mempunyai lima anak hasil perkongsian hidup dengan arwah suami yang meninggal dunia pada 2014. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here