Elak haiwan melintas dipercayai punca nahas tiga maut

0
251

PADANG TERAP: Kemalangan yang menyebabkan tiga individu maut termasuk seorang kanak-kanak lelaki petang semalam di Kampung Padang Lanjut, di sini, dipercayai akibat mengelak haiwan melintas.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar, berkata kemalangan dipercayai berlaku pada jam 4.15 petang semalam apabila kereta PROTON Wira dari arah Semeliang menuju ke Kuala Nerang itu cuba mengelak haiwan yang melintas secara tiba-tiba di hadapan kenderaan itu.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan motosikal yang datang dari arah bertentangan dipercayai terlanggar bahagian tepi pintu hadapan sebelah kiri kereta berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta berusia 37 tahun dan anaknya berusia enam tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

“Malah, penunggang motosikal yang berusia 20 tahun itu juga meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng motosikal berusia 11 tahun parah dan sedang dirawat di Hospital Kuala Nerang,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, Mulkiaman berkata, saksi kejadian itu gagal memastikan spesies haiwan melintas kerana tidak melihatnya dengan jelas.

“Tiga mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat dan siasatan masih dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Kemalangan itu juga menyebabkan kereta terbabit rosak teruk pada bahagian bumbung dan keempat-empat pintu, manakala motosikal rosak teruk pada bahagian depan kenderaan serta patah kedua-dua cermin pandang belakang,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here