FAM potong gaji kakitangan

0
47
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam akui pemotongan gaji dicapai menerusi rundingan dengan kakitangan.

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuktikan kepimpinan melalui teladan apabila mengambil pendekatan memotong gaji kakitangannya jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan.

Badan induk itu yang sebelum ini membenarkan pasukan Liga Malaysia (Liga M) mengadakan perbincangan dengan pemain masing-masing bagi menyelesaikan masalah kewangan susulan pandemik COVID-19 mengambil langkah sama selepas turut terkena tempias daripada pandemik COVID-19.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam menjelaskan badan induk itu meminta semua kakitangan pentadbiran dan staf teknikal mengambil potongan gaji di antara 10 ke 20 peratus bergantung kepada gaji masing-masing sepanjang tempoh krisis ini.

“Urus setia Agung FAM membuat penilaian dengan hati-hati dan pemahaman yang teliti terhadap impak wabak COVID-19 yang memberi kesan kepada seluruh negara dan industri bola sepak tempatan sejurus kita memasuki tempoh kedua PKP selepas 31 Mac lalu.

“Maka, Urus Setia Agung akan melaksanakan beberapa langkah penjimatan termasuk mengenakan potongan gaji sepanjang krisis ini andai PKP dilanjutkan. Ini dipersetujui kakitangan pentadbiran dan teknikal FAM sebagai usaha memastikan kestabilan kewangan FAM dalam menempuh saat-saat sukar ini.

“Keputusan ini dicapai menerusi rundingan atas semangat musyawarah dengan niat yang murni.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua tenaga kerja FAM atas komitmen mereka terhadap organisasi, terutama pada tempoh yang sukar buat semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Stuart turut menjelaskan pemotongan itu langkah terakhir yang dibuat selepas mengkaji pelbagai aspek dengan Exco FAM dan pengurusan atasan selepas wabak COVID-19 memaksa semua saingan bola sepak tempatan ditangguhkan.

“Seboleh-bolehnya kami ingin mengelak daripada mengambil pendekatan ini tetapi mengambil kira keadaan yang tidak menentu, keputusan ini diambil demi kepentingan semua termasuklah kepentingan FAM selaku satu organisasi,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here