GKP PERMAI beri nafas baharu PKS

0
53

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan memperluaskan bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) memberi nafas baru kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro.

Pengusaha produk perabot kayu, Pallet Works, Mohd Khairul Helmy Mohd Din, berkata pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal tahun ini sekali lagi memberi impak kepada perniagaannya.

Beliau berkata, perniagaannya yang baru ingin hidup kembali selepas menerima impak negatif sepanjang 2020, sekali lagi berdepan dengan rintangan.

“Tetapi langkah pantas kerajaan dalam Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) memberi kelegaan kepada peniaga.

“Bantuan seperti ini memang ditunggu-tunggu dan diharapkan oleh peniaga kerana membuka ruang membantu dalam kewangan perniagaan,” katanya.

GKP Tambahan di bawah PERMAI yang diumumkan adalah bantuan kewangan tambahan secara one-off yang disediakan kerajaan kepada PKS mikro yang menerima bantuan GKP 1.0 dan 2.0 sebelum ini.

Semakan status permohonan bagi GKP berkenaan boleh dibuat di portal rasmi Geran Khas Prihatin bermula semalam (24 Mac 2021) dan tarikh bayaran terkini adalah mulai hari ini (25 Mac 2021).

Seperti diumumkan dalam PERMAI, kerajaan memperluaskan bantuan GKP kepada 800,000 PKS sehingga RM1,000.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata peluasan inisiatif GKP PERMAI ini akan membabitkan peruntukan tambahan RM650 juta.

Terbaru, di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), kerajaan turut mengumumkan GKP 3.0 yang mana boleh dimohon mulai 1 April ini.

Bagi pengusaha kesenian dan kebudayaan Caklempong Sunan, Muhamad Shukri Abd Wahab, GKP PERMAI sangat membantu kerana banyak peniaga terkesan pendapatan dan menanggung kerugian.

Beliau berkata, bantuan itu meringankan beban dan membantu aliran tunai serta kuasa beli PKS.

“Tujuan permohonan GKP kerana menyahut inisiatif kerajaan membantu PKS. Banyak program terkesan seperti persembahan pada majlis perkahwinan dan korporat.

“GKP PERMAI dapat membantu dari segi pulangan modal serta pembelian dan penyelenggaraan alat muzik,” katanya.

Pengasas produk kesihatan, Natuwrel Sdn Bhd, Wan Rohani Wan Majid, pula berkata GKP PERMAI membantu syarikatnya meningkatkan sumber kewangan bagi mengukuhkan sistem perniagaan digital seperti membina aplikasi.

Beliau berkata, bantuan GKP PERMAI juga digunakan untuk kos pemasaran produknya.

“Sejujurnya saya masih terkejut berlaku COVID-19. Kami tidak dapat membuka perniagaan secara fizikal.

“Namun, bantuan kerajaan sebelum ini diguna sebaik mungkin dalam peralihan kepada digital.

“Bantuan ini adalah usaha berterusan kerajaan dalam membantu perniagaan kecil menghadapi impak COVID-19,” katanya.

Geran bantu 900,000 usahawan mikro

Langkah kerajaan memperkenalkan beberapa siri Geran Khas Prihatin (GKP) dalam membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sememangnya memberi kelegaan kepada mereka untuk meneruskan kelangsungan perniagaan.

Presiden Persatuan PKS Malaysia, Datuk Michael Kang, menyifatkan bantuan GKP antara dasar yang paling membantu PKS dalam memulihkan semula perniagaan mereka.

Katanya, bantuan itu membolehkan PKS mikro mendapat suntikan awal untuk memulakan semula perniagaan mereka selepas terjejas teruk dengan penangan COVID-19 sebelum ini.

“Dianggarkan dua juta PKS mikro di Malaysia dan setakat ini lebih 900,000 PKS mikro mendapat manfaat GKP.

“Kita mengharapkan lebih 50 peratus PKS mikro lain turut dapat menerima bantuan seumpama ini,” katanya kepada BH, ketika dihubungi semalam.

Semua PKS mikro yang telah diluluskan di bawah GKP 1.0 dan GKP 2.0 akan menerima bayaran GKP Tambahan antara RM500 hingga RM1,000 mulai esok, membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM883 juta.

Jika dicampurkan GKP 1.0, GKP 2.0 dan GKP Tambahan diluluskan, jumlah keseluruhan penerima GKP hampir 900,000 PKS mikro dengan jumlah bantuan kewangan sebanyak RM3.58 bilion.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata bantuan GKP memang meringankan beban kewangan PKS mikro, terutama dari sudut modal pusingan.

Katanya, ia seharusnya memberi kelegaan kerana wang terbabit dapat dimanfaatkan untuk membeli barangan berupa input kepada perniagaan mereka.

“Namun, bagi mendapat manfaat sepenuhnya, pengusaha perniagaan mikro juga perlu bersifat lebih terbuka untuk memajukan diri mereka melalui latihan kemahiran disediakan agensi kerajaan berkaitan bagi memajukan perniagaan mereka.

“Hakikatnya, bantuan GKP hanya bersifat sementara, namun, untuk mencapai ke tahap lebih baik, peniaga mikro perlu memikirkan untuk mengubah bentuk perniagaan mereka ke arah lebih berdaya saing,” katanya.

sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here