Harga air mentah ikut gred

0
108

PUTRAJAYA: Pengenalan Mekanisme Penetapan Harga Air Mentah yang dicadangkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bakal membolehkan kerajaan negeri memperoleh pendapatan daripada penjualan sumber alam itu mengikut gred kualitinya.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ketika ini kerajaan negeri menjual air mentah kepada operator rawatan air pada satu harga saja, tidak kira gred air mentah yang disalurkan.

KASA mencadangkan empat gred kualiti air mentah dengan kualiti terbaik boleh dijual pada harga yang tinggi.

“Kita cadangkan ini supaya negeri mendapat hasil yang banyak terutama jika ia menjaga sumber air masing-masing.

“Ada empat gred dan Gred Satu boleh dijual pada harga mahal kerana kos rawatan akan lebih murah berbanding gred tiga dan empat,” katanya selepas Majlis Ulang Tahun KASA yang pertama, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri KASA, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad dan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Dr Zaini Ujang.

Tuan Ibrahim berkata, tujuan utama penggredan itu selain bakal menjadi pendapatan kepada negeri, ia juga akan memastikan kelestarian alam sekitar melalui pemeliharaan hutan negara.

Pengorbanan pentadbiran negeri menjaga dan memelihara hutan masing-masing termasuk tiada penerokaan hutan akan dibalas melalui hasil yang dipungut melalui gred kualiti air yang terbaik.

Ketika ini, komitmen pemeliharaan hutan negara di peringkat antarabangsa adalah pada 50 peratus dan akan tiba masanya nanti hutan tidak boleh lagi ditebang.

Ketika ini, katanya, KASA dalam sesi turun padang ke negeri bagi membawa cadangan berkenaan dan sudah bertemu pentadbiran di Kedah, Kelantan Pahang dan Johor, serta mendapat maklum balas positif.

“Isunya ketika ini jika gred ke sistem itu tidak ada, kita perlu bangunkan sistem itu. Jika sistem itu tidak ada, negeri yang menjaga sumber air mentahnya akan mendapat hasil jualan yang sama dengan negeri yang tidak berbuat demikian, jadi ia tidak mendapat manfaat daripada pengawalan.

“Contohnya, kawasan Ulu Muda di Kedah yang dijaga tiada kebenaran pembalakan diberikan sebagai sumber air bagi Kedah, Perlis dan sebahagian Pulau Pinang,” katanya.

Justeru, beliau berkata, negeri perlu mendapatkan haknya sebagai timbal balas kepada pengorbanannya menjaga sumber air mentah.

Pada masa sama, Zaini berkata, penggredan sumber air mentah tidak akan memberi kesan kepada pengguna berikutan kos akan ditanggung oleh operator rawatan air.

“Ini kerana apabila kualiti air mentah lebih baik, operator boleh mengurangkan kos operasi lain termasuk pengurangan penggunaan bahan kimia dan tenaga elektrik serta pengoperasian loji yang lebih kecil,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Tuan Ibrahim menggalakkan pembabitan sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam pelaksanaan denai sungai seluruh negara.

Kerajaan Persekutuan ketika ini turut menyasarkan 10,000 kilometer denai sungai dibina di seluruh negara.

“Sebenarnya sungai ini boleh memberi pulangan kepada pihak tertentu seperti NGO dan penduduk setempat jika ia dijaga dengan baik. Contohnya, pelaksanaan denai sungai di Pengkalan Datu, Kubang Kerian, Kelantan yang kini menjadi tarikan hingga 1,000 pelawat pada hujung minggu,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here