Hilang ketika menyelam lepaskan mata kail

0
457

SRI AMAN: Seorang lelaki hilang ketika menyelam untuk melepaskan mata kail yang tersangkut di dasar sungai di Nanga Skrang, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Taid Jepit, 61, dikatakan memancing di tebing sungai itu sendirian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, menurut saksi, ketika asyik memancing, mata kailnya tersangkut dan lelaki warga emas itu bertindak menyelam untuk melepaskannya.

Bagaimanapun, katanya, selepas beberapa minit, mangsa yang tinggal di Rumah Panjang Francis Kaong, Nanga Skrang, tidak muncul di permukaan, menyebabkan ada penduduk percaya mangsa dibaham buaya.

“Menurut saksi itu, mangsa pandai berenang dan penduduk mengesyaki dia menghadapi masalah ketika berada di dasar sungai itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jurucakap itu berkata, sepasukan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 6.43 petang semalam.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa turut dibantu sepasukan lapan anggota polis, sembilan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan 30 penduduk kampung.

“Sehingga jam 11 pagi ini, SAR masih gagal mengesan mangsa,” katanya.

sumber: berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here