IPT buat persediaan urus mahasiswa pulang Raya

0
112

KUALA LUMPUR: Pengurusan institusi pengajian tinggi (IPT) kini dalam proses menguruskan pergerakan pulang pelajar ke kampung masing-masing sempena cuti Hari Raya Aidilfitri secara berperingkat mulai Jumaat depan.

Difahamkan, IPT sedang mengenal pasti jumlah pelajar, medium pengangkutan, pengeluaran surat pengesahan rentas negeri, pengasingan mengikut zon dan memastikan kawalan ketat serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP), susulan kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bahawa lebih 100,000 pelajar IPT dijangka pulang berhari raya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Arifin Abdu, berkata pihaknya merangka persediaan pengurusan pulang pelajar dengan mempertimbangkan semua faktor termasuk cuti pertengahan semester kedua 2020/2021 pada 10 hingga 16 Mei 2021.

“UPM bersetuju membuat ketetapan tarikh pergerakan pelajar ke kampung halaman mengikut zon. Pelajar yang pulang ke Sabah, ke Zon Utara iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dan Zon Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) akan dibenarkan pulang bermula 7 Mei. Pelajar ke Zon Tengah iaitu Selangor, Perak, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan pulang pada 8 Mei, Zon Selatan membabitkan Negeri Sembilan, Melaka dan Johor pada 9 Mei,” katanya.

UPM menjalankan bancian melalui ‘Google Form’ kepada semua pelajar selama tiga hari sejak Selasa lalu bagi mendapatkan data pelajar yang ingin balik atau kekal berada di kampus ketika cuti Aidilfitri. Berdasarkan maklum balas diterima, dianggarkan seramai 6,000 pelajar akan balik ke kampung halaman masing-masing. Pihak universiti juga akan menyediakan bas bagi menghantar pelajar yang perlu ke lapangan terbang.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Dr Mohd Rizal Arshad, berkata dijangka sekitar 900 hingga 1,200 pelajar akan pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Buat masa ini, sekitar 25 peratus pelajar UniMAP berada dalam kampus, iaitu sekitar 2,500 hingga 2,700 orang pelajar. Mereka adalah kumpulan pelajar yang dibenarkan berada di kampus untuk mengikuti kelas atau makmal secara bersemuka termasuk pelajar yang mempunyai masalah capaian internet.

“UniMAP juga sedang membuat bancian berhubung keperluan pengangkutan pelajar pulang ke kampung. Universiti ada 43 bas dan akan mempertimbangkan jika ia diperlukan bagi menghantar pulang pelajar. Kami juga akan menyediakan surat pengesahan rentas negeri kepada pelajar untuk dikongsikan dengan ibu bapa atau penjaga masing-masing,” katanya.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman, berkata universiti itu sudah mengaktifkan Bilik Gerakan Ops Pelajar Pulang Aidilfitri dan akan melaksanakan mesyuarat penyelarasan bersama semua pihak berkepentingan bagi membincangkan urusan itu, antaranya pasukan keselamatan, pusat kesihatan universiti dan pemimpin mahasiswa.

“Pada masa sama, tinjauan secara dalam talian dibuat mulai hari ini (semalam) oleh Hal Ehwal Pelajar (HEP) UKM dan ia akan diteruskan bagi mengenal pasti pelajar yang mahu pulang sempena raya dan mekanisme pengangkutan yang akan digunakan. Melalui tinjauan ini, kami dapat mengenal pasti pelajar yang mahu kekal di kampus supaya universiti dapat memastikan kebajikan mereka sentiasa terjaga,” katanya.

Setakat ini, seramai 3,000 daripada lebih 4,000 pelajar yang berada dalam kampus berhasrat untuk pulang ke kampung halaman masing-masing. Pihak universiti juga akan mengeluarkan surat merentas negeri yang boleh dimuat turun sendiri oleh pelajar menerusi laman sesawang UKM2Campus.

KPT dalam kenyataan semalam memaklumkan lebih 100,000 pelajar IPT di seluruh negara dibenarkan pulang ke kampung sempena cuti Hari Raya Aidilfitri kecuali bagi Sarawak.

Menurut kenyataan itu, pergerakan pelajar di setiap IPT akan dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan pergerakan terkawal, dengan tarikh pergerakan pulang ke rumah masing-masing ditetapkan mulai 7 hingga 12 Mei manakala tarikh kembali ke kampus bermula 15 hingga 20 Mei.

“Pergerakan pelajar sempena cuti perayaan Aidilfitri ini dianggar membabitkan 103,994 pelajar yang kini berada di kampus daripada jumlah keseluruhan 1.3 juta pelajar. Pelajar-pelajar ini terdiri daripada enam kategori pelajar dibenarkan untuk menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di kampus sebelum ini,” kata kenyataan itu.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof Dr Roziah Mohd Janor, berkata hampir 8,000 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dijangka pulang ke kampung halaman masing-masing selepas KPT mengumumkan kelonggaran sempena cuti Hari Raya Aidilfitri.

Jumlah muktamad pelajar yang tinggal di kampus dan menyewa di luar kampus (non resident) yang akan pulang ke kampung hanya akan diketahui beberapa hari lagi.

“Hasil tinjauan awal mendapati seramai 96 peratus atau hampir 8,000 pelajar yang berada di kolej kediaman dan non resident memilih untuk balik ke rumah sempena Hari Raya Aidilfitri. Empat peratus atau kurang dari 500 pelajar memilih untuk terus kekal berada di kampus. Jumlah sebenar hanya akan diketahui beberapa hari lagi kerana masih ada yang belum membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi BH.

Pihak pengurusan akan meneliti senarai pelajar yang memilih untuk pulang ke kampung memandangkan tidak semua daripada mereka akan kembali ke kampus selepas Hari Raya.

“Sebahagian pelajar akan diganti dengan kumpulan pelajar lain untuk memanfaatkan keperluan makmal, praktikal dan sebagainya. Senarai pelajar yang akan kembali semula ke kampus juga telah diselaraskan oleh setiap fakulti dan Bahagian Hal Ehwal Akademik di semua kampus,” katanya.

Tambahnya, Bahagian Hal Ehwal Pelajar akan mengetuai koordinasi pergerakan pulang pelajar dan turut dibantu bahagian lain di UiTM seperti Unit Kenderaan, Polis Bantuan, Pusat Kesihatan, Majlis Perwakilan Pelajar dan Jawatankuasa Perwakilan Kolej.

“Pihak universiti juga sentiasa bersedia untuk menyediakan pengangkutan pelajar mengikut negeri supaya pergerakan pulang pelajar lebih tersusun dan rapi seperti yang telah diamalkan pada pelaksanaan Ops Hantar Pulang Pelajar sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.

“Matlamatnya supaya keperluan dan kemudahan pelajar untuk pulang tetap terpelihara di samping pematuhan terhadap keselamatan, kesihatan dan keselesaan pelajar terjamin,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, pelajar UiTM boleh memohon surat pengesahan pulang dari aplikasi SaringC19 yang dibangunkan khas untuk warga UiTM sepanjang tempoh PKP ini dilaksanakan.

“Melalui aplikasi ini, pelajar boleh memohon dan mencetak surat pengesahan pulang. Pihak UiTM juga akan membantu menguruskan kebenaran permit merentas negeri di balai polis berhampiran dan ibu bapa juga boleh menggunakan surat yang sama untuk membuat permohonan kebenaran permit merentas negeri di mana-mana balai polis berhampiran.

“Namun begitu, kebenaran tersebut tetap tertakluk kepada kuasa budi bicara PDRM untuk meluluskan. Sehubungan itu, proses ini masih akan dikekalkan untuk membantu memudahkan urusan ibu bapa mengambil anak-anak di kampus,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here