Jangan jadikan PDRM pasukan korup – Abdul Hamid

0
54

KUALA LUMPUR: Seluruh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) diingatkan tidak menjadikan pasukan itu sebagai agensi yang korup.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata semua warga PDRM harus mengenang pengorbanan bekas pegawai dan anggota terdahulu berjuang demi memastikan keamanan dan kemakmuran sentiasa kekal.

“Sebagai generasi penerus, janganlah kita lupa diri dengan menjadikan pasukan keramat ini sebagai pasukan yang korup sekali gus mensia-siakan pengorbanan dan perjuangan polis terdahulu.

“Saya menyeru semua warga PDRM membulatkan tekad, memperbaharui azam menebus kembali maruah dan pengorbanan pahlawan terdahulu mewariskan kita negara aman dan berdaulat,” katanya.

Beliau berkata ketika berucap sempena Perbarisan Sambutan Peringatan Hari Polis ke-214 tahun 2021 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyempurnakan perbarisan Peringatan Hari Polis ke-214 itu.

Yang turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Affendi Buang.

Abdul Hamid turut mengakui, masih wujud kumpulan pegawai dan anggota yang degil mengamalkan budaya rasuah.

“Bagi mereka status halal dan haram itu tiada perbezaannya namun PDRM sendiri mengorak langkah mengambil tindakan drastik menangkap dan mendakwa mereka yang menyeleweng.

“Alhamdulillah usaha ini turut dibantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC),” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here