Home Berita Jururawat meninggal dunia akibat serangan jantung, bukan vaksin COVID-19 – KP Kesihatan

Jururawat meninggal dunia akibat serangan jantung, bukan vaksin COVID-19 – KP Kesihatan

0
330
KUALA LUMPUR: Seorang jururawat yang menerima suntikan vaksin COVID-19 pada minggu lalu disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung di rumahnya di Bandar Seri Astana, Sungai Petani, awal pagi Rabu.
Bagaimanapun, kematiannya itu disahkan tidak mempunyai kaitan dengan suntikan vaksin berkenaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah seperti diaporkan BH.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, wanita berusia 45 tahun yang mempunyai rekod penyakit darah tinggi itu meninggal dunia jam 2.45 pagi Rabu.
Katanya, wanita itu menerima suntikan vaksin COVID-19 pada 12 Mac lalu.
“Hasil temu bual bersama suami wanita itu mendapati, isterinya bertugas di Unit Rawatan Intensif Neonatal (NICU) Hospital Pulau Pinang selama hampir 20 tahun.
“Pada 12 Mac lalu, wanita itu menerima suntikan vaksin COVID-19 di tempat kerja. Dia mengadu lenguh badan dan sehingga 16 Mac (Selasa) dia masih mengadu sakit seluruh badan dan sesak nafas,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Adzli berkata, wanita berkenaan mengadu sakit badan dan masuk ke bilik untuk tidur pada jam 11.30 malam Selasa, namun suaminya menyedari dia tidak memberi sebarang respons ketika dikejutkan beberapa jam kemudian.
“Berikutan itu, suaminya menghubungi Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan setibanya pasukan perubatan di rumah mereka, pemeriksaan mendapati wanita itu sudah meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, BH pada Khamis melaporkan, Dr Noor Hisham berkata, jururawat terbabit disahkan meninggal dunia disebabkan penyakit yang dihidapinya.
“Jururawat berkenaan meninggal dunia akibat serangan jantung lima hari selepas vaksinasi, tiada kaitan dengan suntikan vaksin yang diberikan,” katanya.
sumber: berita awani

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here