KDN perkukuh pengurusan sempadan negara

0
123

KUALA LUMPUR: Pengurusan sempadan darat dan laut Malaysia akan diperkukuh melalui pendekatan lima sempadan hadapan membabitkan sempadan utara Kedah dan Kelantan, Selatan, Sabah serta Sarawak, dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata ia adalah antara empat teras yang menjadi fokus Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada tahun ini, bagi memastikan sempadan negara dikawal ketat dan diperkukuh melalui transformasi pengurusan dan tadbir urus.

“Sebagai contoh, keperluan untuk pembinaan pagar sempadan, penggunaan teknologi terkini seperti kamera litar tertutup (CCTV), radar serta dron dan pembinaan pos kawalan adalah berbeza mengikut sempadan hadapan,” katanya ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2021 kepada kakitangan KDN secara maya, hari ini.

Tiga lagi teras yang akan diberikan perhatian adalah memperkukuh keselamatan dan ketenteraman awam, membanteras gejala dadah dan substans serta mentransformasi institusi dan sistem penyampaian perkhidmatan.

Hamzah berkata, KDN akan terus memperkukuh dasar dan perundangan dengan melaksanakan kajian dan pindaan ke atas akta di bawah bidang kuasa kementerian itu bagi memperkasa aspek penguatkuasaan.

“Usaha membanteras gejala dadah dan substans diberikan fokus. Untuk itu, dasar pengalihan penyalahgunaan dadah daripada hukuman penjara ke program rawatan dan pemulihan dadah yang ditetapkan tahun lalu akan dimantapkan melalui penggubalan Rang Undang-Undang baharu dikenali sebagai Akta Penyalahgunaan Dadah dan Substans bagi menggantikan Akta Penagih Dadah 1983.

“Pengukuhan pendekatan dan rawatan serta pemulihan secara sukarela sedia ada perlu dilaksanakan dan inisiatif bagi penambahbaikan dalam memastikan keberkesanan melalui penghasilan Modul Anjakan Kepulihan: Pendekatan Sukarela yang akan dibangunkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK),” katanya.

Beliau memaklumkan, KDN juga ke arah memperkasa pendigitalan perkhidmatan berteknologi dan berkapasiti tinggi bagi meningkatkan perkhidmatan ‘end to end’ dalam urusan yang ditawarkan kepada rakyat, selari dengan hasrat kerajaan untuk mengarusperdanakan pendigitalan.

Mengulas gerak kerja KDN pada tahun lalu, Hamzah berkata, kajian semula dibuat ke atas beberapa akta dan penyediaan draf rang undang-undang (RUU), antaranya RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 dan RUU Pesara dan Bekas Polis, serta kajian semula Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Hasutan 1948.

Katanya, melalui AADK, sebanyak sembilan daripada 12 kawasan rintis berisiko tinggi di bawah Projek Rintis Inisiatif Bersepadu bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah, substans dan pelencongan sosial berjaya dihijaukan.

Dalam aspek pengurusan pendatang asing tanpa izin (PATI), KDN dan Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) melaksanakan Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja di bawah Pelan Rekalibrasi PATI.

“Sehingga 31 Disember lalu, sebanyak 6,634 operasi ke atas PATI dilaksanakan dan seramai 22,522 PATI serta 387 majikan ditangkap.

“Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan 11 sindiket berkaitan PATI dan jenayah rentas sempadan dan seramai 111 orang dalang serta ahli sindiket pelbagai warganegara ditahan, antaranya membabitkan pemalsuan dokumen, penipuan dan salah guna pas, ejen haram dan pemalsuan cop keselamatan imigresen,” katanya.

Selain itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berjaya mengusir 434 bot nelayan asing di Zon Maritim Malaysia dan daripada jumlah itu, 909 tangkapan dilakukan atas pelbagai kesalahan maritim.

“Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK) PDRM pula melaksanakan hampir 2,000 operasi membabitkan kes penyeludupan, migran dan khazanah negara dengan nilai rampasan bernilai RM225.6 juta,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here