Kebebasan asasi, hak asasi dua istilah berbeeza

0
115

KUALA LUMPUR: Perlembagaan Malaysia tidak bersifat meminggirkan pihak tertentu meskipun ia tidak menyebut mengenai hak asasi manusia, sebaliknya kebebasan asasi.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata takrifan antara kebebasan asasi dengan hak asasi juga menunjukkan terdapat perbezaan dua istilah itu.

“Dalam Perlembagaan Malaysia tidak ada menyebut mengenai hak asasi manusia. Yang disebut adalah mengenai kebebasan asasi.

“Hak asasi dan kebebasan asasi sangat berbeza. Kebebasan hak asasi ada dinyatakan dalam Perlembagaan dengan jelas bagaimana kebebasan mengenai kesamarataan.

“Kesamarataan dalam Perlembagaan Persekutuan bukannya semua orang sama. Ada perkara yang perlu kita titikberatkan membawa kepada sedikit perbezaan antara golongan tertentu.

“Begitu juga kalau kita meletakkan hak asasi ini di tempat yang tidak sepatutnya. Trend seluruh dunia sebenarnya dan mula berlaku di Malaysia. Kita mula mementingkan hak asasi. Hak itu berbanding dengan tanggungjawab. Kita jarang bercakap tentang tanggungjawab kita untuk mengekalkan perpaduan,” katanya ketika menjadi salah seorang ahli panel Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk Syariat Didaulat: Perpaduan Diangkat, malam tadi.

Mengulas lanjut, Zainul Rijal berkata terlalu mengejar kebebasan hak asasi juga menyebabkan isu hak umum jarang diperkatakan.

Beliau berkata, hak umum itu sepatutnya mengatasi hak individu.

“Yang mana lebih penting, hak umum itu ada di dalam hak asasi itu sendiri. Jadi, perkara ini perlu kita ambil kira untuk memelihara perpaduan di antara kita. Kita melihat kepada yang mana lebih penting. Hak umum itu sepatutnya mengatasi hak individu. Bukan hak individu mengatasi hak yang lebih umum.

“Banyak orang yang mengatakan bahawa hak asasi contohnya terpulang kepada saya nak melakukan apa sahaja. Itu sebenarnya tidak betul dari sudut agama, dari sudut adat ketimuran pun tak betul dan dari segi undang-undang juga tidak betul kerana setiap kebebasan asasi yang disebutkan dalam Perlembagaan Persekutuan itu ada had dan batasannya. Ia bukan kebebasan mutlak,” katanya.

Pakar perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz, berkata meskipun dalam Perlembagaan menetapkan kedudukan Islam sebagai agama bagi persekutuan, ia tidak bermaksud menafikan kebebasan beragama kerana ia selaras dengan ajaran ataupun tuntutan al-Quran.

Jelasnya, banyak peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat syariat dan mengeratkan perpaduan antara satu sama lain seperti termaktub Perkara 11 dalam fasa 4.

“Dalam perkara 3 (1) itu ialah Islam adalah agama bagi persekutuan. Tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dalam mana-mana bahagian persekutuan.

“Kita lihat perkara 11 dalam fasa 4, contoh menjaga akidah umat Islam supaya tidak disebar luaskan dengan ajaran atau doktrin bukan Islam kepada orang Islam. Pada masa yang sama, orang bukan Islam diberikan kebebasan untuk menganut dan mengamalkan agama mereka.

“Dan tidak ada sesekali pun pantang larang kecuali sekiranya ia mengguris perasaan umat Islam. Bahkan dalam perkara 153 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa hak orang Melayu, hak anak negeri Sabah dan Sarawak, hak komuniti lain dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here