Kedah tolak cadangan Pulau Pinang tubuh lembaga urus Sungai Muda

0
105

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah membantah cadangan Pulau Pinang untuk menubuhkan Lembaga Lembangan Ulu Muda (LLUM) bagi mengurus sumber air Sungai Muda kerana dianggap melanggar kedaulatan negeri dan rakyat negeri itu.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata cadangan Pulau Pinang melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) itu menunjukkan negeri itu masih mahu mencampuri urusan Kedah, walaupun selepas diberi amaran beberapa kali.

Beliau berkata cadangan PBAPP itu bertujuan mengawal Sungai Muda sehingga ke kawasan hulu termasuk di Empangan Muda, Pedu dan Ahning yang berada di dalam negeri Kedah.

“Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mencadangkan penubuhan Lembaga Lembangan Sungai Muda (MRBA) bagi mengurus bahagian Sungai Muda yang bersempadanan antara dua negeri mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Bahagian ini hanya merujuk kepada Sungai Muda bermula dari Kampung Ekor Kucing, Pantai Perai sehingga ke muara, tetapi PBAPP mencadangkan LLUM yang kawasannya sehingga ke Ulu Muda yang terletak di wilayah Kedah.

“Saya nasihat PBAPP tidak campur urusan dalaman Kedah sebagai negeri berdaulat yang mempunyai Sultan, kerajaan, Menteri Besar, rakyat, wilayah dan Undang-Undang Tubuh Negeri sendiri,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif PBAAPP, Datuk Jaseni Maidinsa dalam kenyataannya berkata terdapat perbezaan antara MRBA yang dicadangkan KASA dan LLUM yang dicadang Pulau Pinang bagi melindungi tadahan air di Empangan Muda, Pedu dan Ahning, sementara cadangan KASA hanya terbatas melindungi lembangan Sungai Muda.

Katanya, cadangan Pulau Pinang adalah bagi melindungi keseluruhan kawasan tadahan air Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), sementara LLSM pula terhad kepada melindungi lembangan sungai di selatan Kedah sahaja.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, kekerapan Pulau Pinang menyentuh kawasan Ulu Muda adalah tanda pengakuan negeri itu bergantung kepada sumber air Kedah.

“Dia mengaku Ulu Muda penting kepada Pulau Pinang, namun pada masa sama enggan bayar apabila kita buat tuntutan, dia mengaku air hak orang, tetapi tidak mahu bayar. Negeri lain juga ambil air dan bayar (kepada Kedah), tetapi Pulau Pinang tidak bayar.

“Jika Pulau Pinang mahu Kedah ambil kira isu kepentingan air negeri itu, sila buat bayaran air mentah sama seperti Syarikat Air Darul Aman (SADA) bayar kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK),” katanya.

Sementara itu, beliau mengumumkan dua daripada 14 projek Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Sungai Muda sudah diluluskan pembinaannya dengan salah satu daripadanya sedang dibina di Kampung Ekor Kucing, Pantai Perai.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here