Kemeriahan mantai tetap dirasakan

0
142

SEREMBAN: Kemeriahan aktiviti mantai tetap dirasakan dalam kalangan masyarakat di Negeri Sembilan, walaupun ia tidak seperti tahun-tahun sebelum ini kerana sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak COVID-19.

Tradisi melapah daging dan membuat lemang sehari sebelum Ramadan atau mantai itu sememangnya begitu sinomin dengan masyarakat Negeri Sembilan.

Tinjauan di sekitar daerah ini mendapati, mantai berlangsung secara sederhana dan terdapat aktiviti menjual daging ternakan khususnya lembu serta kerbau dijual di tempat tumpuan ramai dan di tepi jalan.

Aktiviti membakar lemang turut diadakan di beberapa lokasi sama ada untuk memenuhi tempahan orang ramai mahupun bagi keperluan ahli keluarga.

Peniaga daging, Mohd Harrisafuan Abdullah, 27, akui ketika ini aktiviti mantai tidak sehebat seperti mana tahun-tahun sebelum ini kerana sekatan PKP.

Peniaga dari Rantau itu berkata, kemeriahan untuk pulang ke kampung bagi menyambut kedatangan Ramadan tidak berlaku kerana arahan jelas semua perlu berada di kediaman atau daerah di mana mereka berada sehingga PKP berakhir.

Katanya, lazimnya dia berjaya menjual sehingga 15 ekor lembu pada hari mantai menjelang Ramadan tetapi kali ini hanya sekitar lima ekor sahaja.

“Sambutan terhadap jualan daging pada hari mantai Ramadan berkurangan kerana bilangan pembeli terhad kesan daripada PKP yang masih dikuatkuasakan.

“Orang ramai kurang membeli daging kerana anak mereka tidak dapat pulang ke kampung dan ini menyebabkan ibu bapa di kampung atau anak di bandar tidak berbelanja,” katanya ketika ditemui di lokasi jualan di Jalan Paroi, di sini, hari ini.

Mohd Harrisafuan berkata, dia menjual daging biasa pada harga RM36 sekilogram (kg) manakala batang pinang RM40 kg.

Sementara itu, pengusaha lemang dan rendang, Zulkarnain Hassan, 45, berkata walaupun hari mantai Ramadan sedikit suram, namun sambutan terhadap lemang masih kekal.

Dia yang mengusahakan aktiviti itu di Kampung Sentosa di sini, berkata permintaan terhadap lemang masih tinggi dan pihaknya menyediakan lebih 300 batang lemang.

“Kebanyakan permintaan diterima daripada pelanggan tetap dan hanya sedikit daripada pembeli baharu.

“Saya bersama anak saudara (Nazaruddin Mohd Rais, 27) membuat persiapan sejak dua minggu lalu, terutama bagi mendapatkan buluh lemang,” katanya.

Zulkarnain berkata, dia menjual lemang sejak lebih 10 tahun lalu, namun hanya pada hari mantai Ramadan dan Aidilfitri serta Aidiladha.

Katanya, resepi membuat lemang dan rendang diwarisi daripada arwah datuk dan neneknya.

“Kami berusaha mengekalkan resepi itu membuatkan kami dapat bertahan menjual lemang dan rendang,” katanya yang menetapkan harga sebatang lemang antara RM12 hingga RM14.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Bakri Sawir, berkata tiada aktiviti mantai besar-besaran diadakan sama ada menjelang Ramadan mahupun Aidilfitri tahun ini.

Beliau berkata, langkah itu sebagai kaedah menyekat penularan wabak COVID-19 yang masih belum reda sepenuhnya.

“Sebagai ganti, kita (kerajaan negeri) hanya akan menyusun program bantuan daging kepada keluarga asnaf dan kurang berkemampuan menjelang Aidilfitri nanti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here