Kenaikan kadar tol 2021 ditangguhkan

0
102

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol tahun ini bagi tempoh bermula 1 Januari hingga 31 Disember depan.

Penangguhan itu membabitkan tiga lebuh raya yang sepatutnya mendapat kenaikan kadar tol mulai 1 Januari lalu, iaitu Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), Lebuh Raya Lembah Kelang Selatan (SKVE) dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet, kelmarin, selepas mempertimbangkan peningkatan kos sara hidup rakyat berikutan penularan wabak COVID-19.

Selain itu, beliau berkata, penangguhan kenaikan kadar tol sebelum ini juga diteruskan meliputi sejumlah lebuh raya dan plaza tol.

“Ia membabitkan 21 lebuh raya dan satu plaza tol (ditangguhkan bagi semua kelas kenderaan), antaranya Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) dan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX).

“Satu lebuh raya dan dua plaza tol pula diberi penangguhan bagi kenderaan Kelas 1 serta Kelas 5, manakala satu lebuh raya dan tiga plaza tol ditangguhkan untuk kenderaan Kelas 5 sahaja.

“Satu lagi lebuh raya ditangguhkan bagi kenderaan Kelas 2, 3, 4 dan 5 sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 6 April lalu, kerajaan membatalkan perancangan untuk mengambil alih empat lebuh raya di Lembah Klang daripada Gamuda Berhad (Gamuda) membabitkan nilai RM6.2 bilion, yang ditawarkan pada 2019.

Empat lebuh raya terbabit ialah Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT), KESAS Sdn Bhd serta Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART).

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beban perlu ditanggung kerajaan untuk melaksanakan proses pengambilalihan lebuh raya berkenaan.

Terdahulu pada Jun 2019, kerajaan melalui Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) mengemukakan tawaran pengambilalihan kepentingan dalam empat pengendali lebuh raya milik Gamuda membabitkan nilai RM6.2 bilion.

Tawaran itu meliputi RM2.47 bilion untuk LITRAK, SPRINT (RM1.984 bilion), KESAS (RM1.377 bilion) dan SMART (RM369 juta).

Susulan penangguhan kenaikan kadar tol terbabit, Fadillah memaklumkan, kerajaan perlu menanggung pembayaran pampasan dianggarkan sebanyak RM2.25 bilion.

Di samping itu, beliau berkata, perundingan untuk menstrukturkan semula kadar tol secara bersama dengan syarikat konsesi, masih giat dilaksanakan dan Kabinet bersetuju supaya ia dimuktamadkan sebelum 2023.

“Anggaran pampasan itu adalah berdasarkan formula pengiraan pampasan ditetapkan dalam perjanjian konsesi. Jumlah sebenar bayaran pampasan tol akan ditentukan selepas proses pengesahan trafik dilakukan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM),” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here