‘Kerajaan, persatuan media perlu bincang vaksinasi pengamal media’

0
103

CYBERJAYA: Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) Malaysia berharap kerajaan mengadakan perbincangan dengannya dan persatuan yang menaungi media bagi memudah cara proses vaksinasi COVID-19 bagi pengamal media.

Presiden NPC, Datuk Ahirudin Attan, berkata warga media juga adalah petugas barisan hadapan yang perlu divaksinasi dalam fasa awal kerana mereka perlu ‘turun padang’ untuk mendapatkan bahan berita selain bersemuka dengan orang ramai.

Beliau berkata pihaknya juga bersedia mengadakan perbincangan dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk memudahkan proses suntikan vaksin berkenaan.

Bagaimanapun, Ahirudin berkata NPC tidak berniat memotong barisan petugas barisan hadapan sedia ada yang menerima suntikan vaksin ketika fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Pengamal media ini bukannya petugas barisan hadapan yang berada di ‘depan’, namun mereka (media) ini pun berada di kawasan yang berisiko.

“Kita tahu ada individu yang lebih penting berbanding wartawan, namun kita mahu pengamal media ini tidak diketepikan.

“Khairy Jamaluddin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) sangat telus dalam pembahagian vaksin, kalau boleh bercakap dengan kami (NPC) atau Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ).

“Kami sedia mengadakan perbincangan dan membantu melancarkan proses (pemberian vaksin). Itu harapan kami,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui media selepas menerima sumbangan dana untuk Tabung Kebajikan Wartawan (JWF) NPC daripada syarikat rangkaian makanan Pop Meals, di sini hari ini.

Sebelum ini, Khairy dilaporkan berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) belum menyenaraikan pengamal media sebagai individu yang terbabit dalam fasa pertama.

“JKVAV sudah tubuhkan satu jawatankuasa kecil untuk melihat senarai permohonan untuk pemberian vaksin seperti yang diterima daripada pengamal media.

“Kita ada satu mesyuarat pada Khamis ini dan akan memaklumkan sekiranya terdapat kemas kini untuk untuk pengamal media,” kata Khairy.

Sementara itu mengenai sumbangan berkenaan, Pengurus Komunikasi Pop Meals, Nurul Jamaludin Nurul, berkata pihaknya menyumbang wang tunai RM5,000 kepada NPC serta 1,000 set kutleri berkualiti bernilai RM23,900.

Nurul berkata, set kutlerimakan itu akan diterima individu yang memberikan kod promo khas yang akan diberikan oleh NPC ketika pembelian dalam aplikasi Pop Meals.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here