Kerajaan PN komited perkukuh semua komuniti

0
111

PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kerajaan Perikatan Nasional (PN) komited untuk terus memperkukuhkan semua komuniti di negara ini termasuklah komuniti Sikh.

Perdana Menteri berkata, perkara itu selaras dengan dasar kerajaan yang berpegang kepada prinsip prihatin dan keterangkuman masyarakat.

Beliau berkata, komuniti Sikh di Malaysia telah memberi sumbangan besar dalam pembangunan negara merentasi pelbagai bidang termasuk ekonomi, sosial seperti sektor pendidikan, keselamatan dan kesukanan.

Muhyiddin berkata, sumbangan daripada komuniti Sikh amat dihargai oleh pihak kerajaan.

“Dalam konteks Malaysia yang mempunyai rakyat berbilang kaum, saya ingin menegaskan dasar kita adalah berteraskan kepada prinsip saling menghormati, keterangkuman dan keadilan,” katanya berucap pada Majlis Hi-Tea sempena Perayaan Vaisakhi di Gurdwara Sahib, hari ini.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dan Presiden Majlis Gurdwara Malaysia, Sardar Jagir Singh; Presiden Khalsa Diwan Malaysia, Sardar Santokh Singh dan Presiden Sikh Naujawan Sabha Malaysia, Sardar Harjinder Singh.

Pada majlis itu Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM3 juta untuk 120 gudwara di seluruh negara serta RM1 juta bagi pembinaan Pusat Sikh yang dijangka siap tiga tahun lagi.

Sumber : Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here