Kononnya rentas negeri ziarah ibu

0
252

GUA MUSANG: Seorang lelaki yang memohon permit merentas negeri ke Kedah atas alasan untuk menziarahi ibu, dikesan cuba memasuki semula Kelantan dengan memandu kereta membawa 160 kilogram (kg) daun ketum, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, suspek berusia 38 tahun dari Kota Bharu itu diberkas ketika memandu kereta sendirian dari Kedah melalui Simpang Pulai ke Gua Musang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata terdahulu kereta itu ditahan untuk pemeriksaan ketika tiba di sekatan jalan raya di Kampung Kundur, dekat sini.

“Hasil pemeriksaan menemui 16 plastik hitam berisi 160kg daun ketum yang dipercayai diambil dari negeri di utara, dalam kereta terbabit.

“Berdasarkan siasatan lanjut, suspek mengaku menipu dalam permohonan permit merentas negeri kononnya untuk menziarahi ibu di Kedah tetapi tujuan sebenar ialah mengambil daun ketum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, di sini, hari ini.

Choon Foo tidak menafikan Jalan Simpang Pulai, Perak, ke Gua Musang kerap menjadi laluan penyeludup daun ketum ke Kelantan berikutan beberapa suspek berjaya ditahan sebelum ini.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati lelaki terbabit mengambil upah membawa daun ketum ke destinasi dijanjikan dengan bayaran RM1,500.

“Suspek dipercayai sudah tiga kali terlepas melakukan kegiatan berkenaan sebelum ini.

“Namun, dia berjaya ditahan kali ini berikutan langkah kita memperketatkan pengawasan rentas negeri,” katanya.

Malah, beliau berkata, hasil saringan ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Susulan itu, katanya, suspek direman hingga Ahad ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here