Lepaskan suspek Macau Scam, pegawai polis berdepan hukuman setimpal

0
893

IPOH: Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengesahkan seorang pegawai polis di Pulau Pinang bersekongkol dalam kegiatan jenayah dengan melepaskan suspek Macau Scam di negeri itu.

Beliau berkata, perkara itu disahkan melalui hasil siasatan dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman terhadap pegawai polis terbabit yang difahamkan berpangkat Inspektor.

Difahamkan juga, pegawai itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Pulau Pinang.

“Tindakan drastik akan diambil kerana ini secara jelas suatu pengkhianatan terhadap amanah yang diberi. Kita mahu dia dituduh di mahkamah kerana kita tidak cenderung jika dia hanya dikenakan tindakan tatatertib yang hukumannya tidak setimpal mana.

“Jika dikenakan tindakan tatatertib iaitu di bawah bidang kuasa saya, hukumannya tidak setimpal kerana paling tinggi pun hanya lucut hak emolumen tujuh hari.

“Kesalahan ini berat dan di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang diketuai menteri serta lapan ahli lain. Mereka yang akan memutuskan tindakan lanjut seperti turun pangkat atau buang kerja,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Sayap Juruterbang dan Penutupan Rasmi Kursus ‘Private Pilot’s Licence’ (PPL) di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata, sebelum ini amanat sudah disampaikan kepada pegawai bawahannya supaya menghentikan kegiatan sebegitu yang menjadi kesalahan diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan.

Sementara itu, beliau berkata, kompaun RM10,000 akibat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) mengekang wabak COVID-19 yang dilaksanakan bermula hari ini turut meletakkan kuasa budi bicara kepada pegawai yang diberi kuasa oleh Ketua Pengarah Kesihatan.

Beliau berkata, budi bicara dimaksudkan membabitkan kuasa untuk memaafkan kesalahan melanggar SOP terbabit jika didapati pelakunya mempunyai alasan kukuh.

“Ia bergantung kepada budi bicara pegawai yang diberi kuasa sama ada ingin kenakan kompaun (sehingga) RM10,000, RM1,000, atau (bahkan) dimaafkan atas budi bicara melalui siasatan yang dijalankan pegawai itu,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here