LZS sasar kutip RM150 juta zakat Ramadan ini

0
66

SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan kutipan RM150 juta bagi zakat harta (termasuk zakat perniagaan) serta fitrah pada Ramadan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop, berkata daripada jumlah itu, RM31 juta disasarkan diperolehi daripada zakat fitrah.

“Pada Ramadan tahun lalu, kita dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 dan kita mula memperkasakan sistem dalam talian untuk pembayaran zakat.

“Dengan pelaksanaan sistem berkenaan (dalam talian), kita mengutip RM18 juta zakat fitrah tahun lalu (bagi kutipan dalam talian sahaja), justeru kita harapkan dengan pengalaman itu, kita lebih bersedia pada tahun ini serta mampu mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Perniagaan di sini, semalam.

Yang turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Pada majlis berkenaan, LZS turut melancarkan aplikasi Zakat Selangor yang mana ia akan memudahkan orang ramai mencapai maklumat berkaitan zakat serta menunaikan kewajipan itu walau di mana berada.

Saipolyazan berkata, ketika aplikasi berkenaan dalam tempoh percubaan minggu lalu dan belum diuar-uarkan secara rasmi, lebih 500 muat turun direkodkan.

“Malah, sudah ada yang menunaikan zakat menggunakan aplikasi berkenaan yang mana kita berjaya mengutip kira-kira RM60,000 ketika ia belum dilancarkan secara rasmi.

“Aplikasi ini sudah pasti akan memudahkan pembayar zakat terutamanya apabila PKP akan dilaksanakan semula di enam daerah di Selangor mulai 6 Mei (esok).

“Antara ciri-ciri aplikasi ini adalah semakan penyata; status bantuan; pengumuman kempen dan promosi terkini LZS; maklumat nisab zakat; harga emas harian dan banyak lagi,” katanya.

Aplikasi Zakat Selangor boleh dimuat turun melalui Playstore dan App Store.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here