Makin berani, seludup PATI dengan bas

0
410

KOTA BHARU: Tindakan berani seorang tekong menyeludup 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan bas membawa padah apabila kegiatannya itu dikesan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) di Wakaf Che Yeh, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Nor Azizan Yusof, berkata dalam kejadian jam 7 malam, anggota membuat rondaan sebelum terserempak sebuah bas dan kereta dalam keadaan mencurigakan.

Anggota kemudian mendekati dua lelaki warga tempatan yang berada berdekatan kenderaan berkenaan dan memperkenalkan diri sebagai polis sebelum mengarahkan mereka untuk mengemukakan dokumen pengenalan diri.

“Pemeriksaan badan turut dilakukan namun tidak menjumpai sebarang barangan yang salah, kemudian anggota mengarahkan mereka membuka pintu bas yang berkunci untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati ada 22 lelaki dan 13 perempuan serta seorang kanak-kanak disyaki warga Thailand, tanpa dokumen perjalanan sah dan seorang daripada suspek warga tempatan mengakui menjadi tekong untuk menyeludup semua PATI berkenaan.

“Anggota kemudian merampas bas dan kenderaan selain menahan semua mereka yang berusia 20-an sehingga 40-an, untuk dibawa ke Komtek Taman Bakti di Rantau Panjang bagi tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.

Nor Azizan berkata, tekong mengaku menerima upah RM200 bagi urusan penyeludupan PATI dari Thailand ke Malaysia.

Dalam kejadian lain, Nor Azizan berkata, pihaknya turut menahan seorang lagi tekong bersama dua lelaki dan dua wanita warga Thailand dipercayai PATI hasil serbuan di sebuah rumah di Kampung Dangar, Pasir Mas, pada jam 3.28 petang, semalam.

“Ketika kejadian, semua mereka berada di dalam kereta jenis Mazda berwarna hitam dan hasil pemeriksaan lanjut semua empat PATI berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here