Malaysia runding bekalan vaksin tambahan dari China

0
126

KUALA LUMPUR: Malaysia berhasrat mendapatkan lebih bekalan vaksin dari China membabitkan generasi kedua dan ketiga dari negara berkenaan.

Perkara itu dibincang melalui pertemuan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan rakan sejawatnya dari China, Wang Yi, dalam sesi lawatan di Fujian, China, semalam.

Hishammuddin berkata, Malaysia sudah menerima dua jenis vaksin buatan China iaitu SinoVac dan CanSino setakat ini.

“Terima kasih diucapkan kepada Presiden Xi Jinping yang berjanji menghasilkan vaksin selamat dan berpatutan demi kebaikan awam global.

“Kami amat menghargai komitmen China tahun lalu dalam menyenaraikan Malaysia sebagai antara penerima utama vaksin.

“Saya dan Wang Yi bersetuju perbincangan lebih mendalam mesti dilaksanakan semua pihak berkepentingan membabitkan banyak agensi dan kementerian sebelum pengumuman dibuat kedua-dua pemimpin untuk merealisasikan komitmen ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata, Malaysia dan China juga bersetuju secara prinsip untuk saling mengiktiraf sijil digital vaksinasi atau sijil kesihatan COVID-19 yang memudahkan pergerakan rentas sempadan antara kedua-dua negara pada masa depan.

Katanya, Malaysia dan China juga bersetuju memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) mengenai perjalanan rentas sempadan termasuk mewujudkan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL).

“Kita menekankan mengenai keperluan pelajar Malaysia kembali melanjutkan pengajian mereka di China dan rakan sejawat saya turut menyatakan komitmen untuk menyelesaikan masalah itu,” katanya.

Menerusi lawatan itu, Malaysia dan China mencipta sejarah apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pertama bagi menubuhkan Jawatankuasa Tahap Tinggi untuk mempromosikan kerjasama pada era pasca COVID-19.

Hishammuddin berkata, melalui MoU itu, Jawatankuasa Tahap Tinggi membabitkan kerjasama pasca COVID-19 turut ditubuhkan dan jelas menunjukkan tekad kedua-dua menteri luar untuk terus memajukan hubungan dalam landskap dua hala baharu.

“Jawatankuasa ini akan bertindak secara menyeluruh dalam menjadi panduan bagi semua aspek hubungan Malaysia-China merangkumi kesediaan dan tindak balas terhadap pandemik, perdagangan dan pelaburan.

“Komoditi, keselamatan makanan, sains, teknologi dan inovasi, kemudahan perjalanan dan projek inisiatif ‘belt and road’.

“Usaha kita ialah meletakkan asas kukuh untuk lawatan timbal balik oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ke China dalam masa terdekat dan pemimpin dari China melawat ke negara ini,” katanya.

Hishammuddin berkata, perbincangan turut membabitkan mengenai masa depan perdagangan minyak sawit dan pihaknya menyambut baik komitmen republik itu untuk meningkatkan segmen Minyak Sawit Merah (RPO) di pasaran China dengan standard kumpulan baharu.

Menerusi jawatankuasa itu, katanya, Malaysia menantikan penyertaan China melalui Gabungan Keselamatan Makanan Antarabangsa (IFSC) yang dimulakan negara bagi memastikan rantaian bekalan global yang mampan.

“Malaysia gembira dengan minat Perdana Menteri China, Li Keqiang, mengenai usaha negara ini meningkatkan Hab Automatif Komperehensif Tanjung Malim dan Pagoh,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here