Mayat seorang daripada mangsa dihanyutkan arus ditemui

0
212

KUANTAN: Mayat seorang daripada dua sekeluarga yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Pahang semalam, ditemukan di dasar sungai itu, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Polis (ACP) Mohd Yusri Othman, berkata mayat Mohammad Naufal Farhan Mohd Azrul, 8, ditemukan pada 10.33 pagi oleh Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang.

“Mayat mangsa ditemukan di dalam sungai kira-kira 35 meter dari lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Dalam kejadian di Kampung Loyang di Sanggang, Temerloh kira-kira 141 kilometer dari sini, Mohammad Naufal Farhan, dikatakan dihanyutkan arus ketika mandi, sebelum bapa saudaranya Mohd Hakim Faqih Norazmi,16, menyedari kejadian itu dan cuba menyelamatkan kanak-kanak tersebut namun dia juga dihanyutkan arus.

Kedua-dua mangsa difahamkan ke sungai itu bersama-sama tiga lagi anggota keluarga pada kira-kira 4.15 petang semalam untuk mandi.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Pahang Ismail Abdul Ghani, berkata operasi mencari dan menyelamat Mohd Hakim Faqih diteruskan pagi ini dengan kawasan pencarian meliputi dua kilometer dari lokasi kejadian.

Katanya, operasi yang ditangguhkan pada 7.30 malam semalam bersambung pada 8 pagi tadi membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh dan dibantu PPDA Bukit Angin. – BERNAMA

sumber: berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here