Mikro kredit PEMERKASA sokongan berterusan kerajaan

0
35

KUALA LUMPUR: Inisiatif kemudahan mikro kredit diumumkan menerusi pakej rangsangan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) penting dalam meneruskan kesinambungan sokongan kerajaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata inisiatif yang dianggap langkah tepat itu dilihat sebagai sambungan daripada lima pakej rangsangan terdahulu dalam membantu PKS bangkit semula ketika pemulihan ekonomi negara.

“Kemudahan untuk PKS yang diumumkan dalam PEMERKASA ini penting untuk meneruskan kesinambungan lima program terdahulu, terutama untuk kelangsungan perniagaan PKS.

“Saya berpandangan kemudahan seperti ini perlu diteruskan lagi sehingga ekonomi pulih sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi berkata, langkah kerajaan membantu sebanyak mungkin PKS berjumlah lebih 900,000 syarikat patut dipuji.

“Bagaimanapun kerajaan perlu juga menjaga rakyat kerana krisis yang dilalui sekarang bukan hanya membabitkan ekonomi, tetapi merangkumi kesihatan juga.

“Kita berharap agensi diamanahkan kerajaan dapat memastikan bantuan diberikan dengan cepat dan berkesan tanpa terlalu dibelenggu SOP (prosedur operasi standard) sekiranya tidak, bantuan atau program diumumkan kerajaan menjadi sia-sia,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) Wilayah Persekutuan, Datuk Aznain Abdullah, berkata kemudahan mikro kredit dalam PEMERKASA sangat penting bagi membangunkan ekonomi negara yang turut ditunjangi PKS.

Katanya, kemudahan disediakan kerajaan itu menjadi aspek penting mengembalikan prestasi PKS yang menyumbang 38.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019.

“Saya melihat kadar pembiayaan yang rendah boleh meringankan beban PKS dari segi bayaran bulanan yang lebih rendah.

“Justeru, lebihan wang tunai dimiliki pula boleh digunakan untuk mengembangkan perniagaan bagi memenuhi permintaan yang dijangka meningkat berikutan ekonomi negara yang dijangka pulih pada tahun ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, untuk jangka masa panjang, PKS disaran meningkatkan kemahiran bidang masing-masing menerusi program latihan untuk mengekalkan daya saing.

Katanya, semakin banyak syarikat PKS di Malaysia bergiat aktif dalam perniagaan ketika COVID-19 melanda negara.

Presiden Persatuan PKS Malaysia, Datuk Michael Kang Hua Keong, berkata kemudahan mikro kredit dalam pakej rangsangan terbaru itu sangat bertepatan dan membantu lebih banyak perusahaan mikro dan PKS yang terbabit dalam sektor tidak berdaftar.

Katanya, program ditawarkan menerusi BSN, TEKUN, MARA dan SME Corp membantu PKS meningkatkan aliran tunai serta membina semula perniagaan terjejas akibat kesan pandemik.

“Pastinya kemudahan mikro kredit dalam PEMERKASA tidak mencukupi kerana berdasarkan data tidak berdaftar kami, terdapat lebih dua juta PKS dan mikro dalam sektor tidak berdaftar. Tidak semua akan mendapat akses kemudahan ini.

“Bagaimanapun, apa yang penting, kemudahan ini memacu ekonomi dan membuka ruang semua beroperasi. Ia juga akan mewujudkan projek mikro dan menyuntik lebih banyak wang ke dalam pasaran,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here