Nanas kembar lapan

0
307

ALOR SETAR: “Saya tak sangka buah nanas yang ditanam daripada ribuan pokok bersama bapa mentua sejak setahun lalu mengeluarkan buah kembar lapan,” kata Mohd Fahrul Razi Ahmad, 34.

Mohd Fahrul berkata, dia menanam lebih 2,000 pokok nanas pelbagai jenis di kawasan tanah lapang seluas 0.5 hektar di Kampung Sungai Baru, di sini, sejak tiga tahun lalu.

Beliau berkata, walaupun sudah mengambil hasil nanas jenis MD2 itu sepanjang tempoh tiga tahun lalu, namun dia tidak menyangka beberapa pokok nanas lain turut mengeluarkan buah yang unik iaitu kembar lapan berbentuk seperti kipas.

“Buah nanas ini sangat unik dan cantik, namun saya terpaksa mengambilnya lebih awal kerana bimbang dicuri.

“Belum pernah saya lihat nanas unik seperti ini yang beratnya kira-kira 7.3 kilogram (kg), berbanding berat sebiji nanas cuma tiga kg,” katanya ketika ditemui di kebun nanasnya hari ini.

Mohd Fahrul yang juga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu, berkata dia dan bapa mentuanya, Shamsul Anwar Ahmad, 68, bagaimanapun tidak bercadang untuk menjual buah itu dalam tempoh terdekat, bagaimanapun jika ada yang berhasrat untuk membelinya mereka boleh berbincang.

“Selepas diperiksa, ada beberapa pokok nanas lain turut mengeluarkan nanas kembar, namun masih muda,” katanya.

Sementara itu, Shamsul Anwar berkata, sebelum ini dia memperoleh benih pokok nanas itu dari beberapa rakannya di kampung berhampiran.

“Nanas yang terhasil pada tahun ini agak unik walaupun ia dari spesies pokok nanas yang ditanam tiga tahun sebelumnya.

“Mungkin Allah SWT nak bagi rezeki lain atau sebaliknya, hanya Dia yang tahu kerana nak jaga pokok nanas bukannya susah pun, hanya tanam dan biarkan ia membesar.

“Sekarang cuaca panas, mungkin antara faktor menyebabkan buah nanas ini terbentuk kembar, tetapi tak tahulah kenapa. Ada lagi nanas yang masih muda dan belum matang yang berbentuk kembar, malah ada juga yang berbentuk seperti pokok kaktus,” katanya.

sumber: berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here