Pasar tani Taman TTDI Jaya dibuka mulai 17 Mac

0
137

SHAH ALAM: Sebuah pasar tani baharu akan dibuka di Taman TTDI Jaya, Jalan Saujana Indah 1, Seksyen U2, di sini, pada setiap Rabu bermula 17 Mac ini.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor, Abdul Rashid Bahri, berkata ia bakal menjadikan jumlah keseluruhan pasar tani di negeri ini mencecah 50 buah.

Katanya, pasar itu akan dibuka dari jam 4 petang hingga 10 malam dengan membabitkan penyertaan seramai 50 usahawan.

Beliau berkata, pelbagai komoditi ditetapkan FAMA akan dijual, termasuk sayur-sayuran, barangan runcit, ikan, ayam, daging dan makanan.

“Pelbagai aktiviti juga akan diadakan, antara lain promosi produk usahawan industri asas tani, nanas Moris dari Johor, jualan Happy Hour dan banyak lagi.

“Lokasinya yang strategik, iaitu berhampiran Politeknik Shah Alam, Laman Glenmarie dan Seksyen U2, turut memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan keperluan pada harga serendah lima hingga 20 peratus daripada harga pasaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, pengunjung pasar tani perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Ia termasuk memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman, mengekalkan penjarakan fizikal, mengimbas kod QR dan merekod suhu badan.

Beliau berkata, FAMA Selangor menjemput orang ramai ke pasar tani baharu itu bagi mendapatkan bekalan keperluan harian yang segar pada harga berpatutan, sekali gus membantu petani tempatan meneruskan kelangsungan ekonomi negara.

“Pasar tani kekal relevan sebagai pilihan pengguna dan outlet pemasaran yang berjaya, selain menyumbang kepada kemajuan pembangunan ekonomi negara.

“Penubuhan pasar tani melahirkan ramai petani bersikap responsif, dan mempercepatkan proses pembangunan sosioekonomi masyarakat tani selaras Dasar Agromakanan Negara,” katanya.

sumber: berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here