Pemaju projek tidak boleh ceroboh rentis – TNB

0
73

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi amaran kepada pemaju projek supaya tidak menjalankan kerja terlalu hampir dengan kawasan izin lalu rentis (right-of-way) talian voltan tingginya, bagi mengelak berlaku percikan arka.

Kerja di dalam kawasan rentis TNB juga dilarang bagi mengelak risiko renjatan elektrik, selain gangguan kepada sistem Grid Nasional lebih tinggi.

Kawasan rentis menara talian penghantaran adalah di antara jarak 20 meter ke 30 meter di sebelah kiri dan kanan menara talian.

Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir Husaini Husin, berkata kerja tidak boleh dijalankan di kawasan rentis tanpa kebenaran TNB.

Bagaimanapun, katanya, jika masih perlu berbuat demikian, pihak terbabit perlu memaklumkan atau meminta kebenaran TNB terlebih dulu.

“Pihak yang mendapat kebenaran TNB perlu berhati-hati bagi mengelakkan percikan arka dan sistem bekalan elektrik terpelantik, sekali gus boleh menyebabkan ketiadaan bekalan di kawasan yang luas.

“Ini akan mengakibatkan ribuan pengguna terkesan. Percikan arka yang berlaku bukan saja boleh menyebabkan kehilangan harta, malah nyawa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Husaini berkata, baru-baru ini pihaknya mengesan tiga kejadian percikan arka menara penghantaran TNB di Seberang Perai, Pulau Pinang; Klang dan Subang Jaya, Selangor hingga menyebabkan sistem bekalan elektrik terpelantik.

Katanya, kejadian itu turut menyebabkan operator kren yang terbabit mengalami renjatan elektrik hingga melecur tahap satu.

“TNB kesal dengan sikap pihak pemaju projek yang sama kerana gagal mematuhi nasihat walaupun notis dan amaran sudah keluarkan kepada mereka.

“Jika pemaju tidak mengendahkan notis dan amaran TNB, masalah gangguan bekalan mungkin akan berlaku lagi, sekali gus menjejaskan ramai pengguna di kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, pihak yang menyebabkan kecederaan atau kerosakan pepasangan boleh dikenakan tindakan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Justeru, kami menyeru semua pihak terutama pemaju dan pemilik premis kilang berhampiran talian voltan tinggi supaya memberikan kerjasama demi keselamatan bersama,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here