PEMERKASA rancak aktiviti ekonomi akar umbi

0
36

KUALA LUMPUR: Pemberian peruntukan tambahan RM2.5 bilion untuk projek berskala kecil di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) mampu merancakkan semula aktiviti ekonomi di peringkat akar umbi.

Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata peruntukan untuk diagihkan kepada kontraktor G1 hingga G4, membabitkan kerja-kerja baik pulih infrastruktur yang sebelum ini rosak disebabkan banjir.

“Disebabkan banjir, kita bukan saja berdepan dengan COVID-19, tapi banyak infra yang rosak disebabkan banjir. Jadi kerajaan menyediakan peruntukan yang disalurkan kepada kontarktor G1 hingga G4 untuk kerja baik pulih ini.

“Ini satu cara bagaimana kerajaan memulihkan ekonomi dan diharap dengan langkah ini, ia boleh meningkatkan lagi aktiviti ekonomi dan dana itu dapat turun ke bawah,” katanya ketika ditemubual dalam slot Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan TV3 di Sri Pentas, hari ini.

Menerusi PEMERKASA diumum semalam, kerajaan bersetuju menambah peruntukan projek berskala kecil bagi tahun ini daripada RM2.5 bilion kepada RM5 bilion.

Antara jenis projek kecil yang akan dikhususkan kepada kontraktor G1 hingga G4 adalah pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam yang rosak akibat banjir, pembaikan jalan, program ameniti sosial, baik pulih perumahan berstrata termasuk penggantian lif di perumahan awam dan pembinaan gerai di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Fadillah berkata, bantuan baharu itu adalah lanjutan daripada inisiatif bantuan lain yang sudah diumumkan kerajaan sebelum ini bagi menjamin aktiviti pemulihan ekonomi negara yang disebabkan impak COVID-19 berterusan.

Sementara itu, katanya Kementerian Kerja Raya (KKR) akan menggerakkan dasar hijau negara menerusi pelbagai inisiatif yang akan dilaksana selepas ini bagi menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2030.

“Kita juga akan menumpukan kepada SDG 2030 bagi meninjau keadaan kelestarian alam sekitar dimana dilancarkan dana sebanyak AS$1 bilion (RM4.1 bilion) melalui sukuk untuk kita melihat bagaimana KKR boleh menggerakkan dasar hijau di negara ini melalui inisiatif yang kita akan laksanakan,” katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika mengumumkan PEMERKASA semalam turut memaklumkan bahawa kerajaan akan melancarkan Sukuk Lestari berjumlah tidak kurang AS$1 bilion bagi menyokong matlamat negara menjadi hab kewangan lestari.

Hasil daripada sukuk berkenaan akan membiayai program dan projek yang mempunyai elemen kelestarian di samping menangani kesan sosioekonomi akibat wabak COVID-19.

sumber: berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here