Pendaftaran program imunisasi COVID-19 masih rendah

0
111

KUALA TERENGGANU: Terengganu, Kelantan dan Sabah antara negeri yang merekodkan kadar pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan terendah.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata tiga negeri itu merekodkan pendaftaran antara 12 hingga 28 peratus.

“Pendaftaran untuk program imunisasi di ketiga-tiga negeri ini masih rendah dan kita khuatir ia akan mengganggu hasrat kerajaan yang menyasarkan 70 peratus dapat diselesaikan sebelum hujung tahun ini.

“Walaupun sasaran awal pada Mac tahun depan tetapi kerajaan memutuskan supaya disegerakan kerana kita mahu memulihkan ekonomi rakyat.

“Setakat ini, hanya 8.4 juta daripada 24 juta orang yang disasarkan sudah berdaftar dan jumlah ini masih lagi jauh dan sebab itu kita menyeru rakyat untuk segera mendaftar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Perdana Media Bersama Ahli Parlimen Kuala Terengganu di sini, malam tadi.

Menurut Ahmad Amzad, selain pendaftaran melalui MySejahtera, kerajaan turut menggerakkan sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) bagi membantu urusan pendaftaran berkenaan.

Katanya, sukarelawan terbabit turut digerakkan di kawasan kampung, pasar dan tempat tumpuan awam bagi membantu orang ramai termasuk warga emas melakukan pendaftaran vaksin.

Seramai 8,500 belia sudah berdaftar sebagai sukarelawan MyVac untuk membantu petugas barisan hadapan dalam urusan penyampaian vaksin kepada penerima.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here