Pensyarah UTM hasilkan kapsul buah tunjuk langit

0
181

Notice: amp_has_paired_endpoint was called incorrectly. Function called while AMP is disabled via `amp_is_enabled` filter. The service ID "paired_routing" is not recognized and cannot be retrieved. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 2.1.1.) in /home/bmfmediatv/web/bmfmediatv.com/public_html/wp-includes/functions.php on line 5313

Notice: amp_remove_paired_endpoint was called incorrectly. Function called while AMP is disabled via `amp_is_enabled` filter. The service ID "paired_routing" is not recognized and cannot be retrieved. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 2.1.1.) in /home/bmfmediatv/web/bmfmediatv.com/public_html/wp-includes/functions.php on line 5313

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya mencipta formulasi teknologi dan produk kapsul gel lembut daripada minyak biji buah tunjuk langit, yang mempunyai keupayaan antidiabetik tinggi serta mampu merendahkan kandungan glukos dalam darah.

Lebih mengagumkan, inovasi formulasi berkenaan adalah yang pertama di dunia, dalam mengekstrak pati minyak biji buah tunjuk langit (Swietenia Macrophylla) menggunakan teknologi tinggi.

Ia bagi mendapatkan pati minyak buah tunjuk langit tulen sekali gus dijadikan kapsul gel lembut bagi mendapatkan khasiat herba itu secara optimum tanpa campuran bahan kimia.

Inovasi berkenaan adalah hasil penyelidikan tujuh tahun penyelidik dan pensyarah Jabatan Kejuruteraan Bioproses dan Polimer, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga, UTM, Prof Madya Dr Liza Md Salleh.

Liza berkata, teknologi pengekstrakan biji buah tunjuk langit yang itu sudah pun dipatenkan sebagai harta intelek oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) manakala sebanyak 10 jurnal berindeks, teknologi ciptaannya itu juga sudah diterbitkan sebagai rujukan dunia.

Malah katanya, beliau juga berjaya mendapatkan paten bagi formulasinya iaitu produk dalam bentuk kapsul gel lembut bagi minyak biji buah tunjuk langit dengan tujuan memudahkan penyimpanan dan menghilangkan rasa pahit semula jadi ketika minyak itu diambil.

“Saya selaku penyelidik dan pensyarah kejuruteraan bioproses dan polimer UTM, mempaten dan mengkomersialkan hasil inovasi berikutan galakan UTM sebagai majikan selain menyahut seruan kerajaan supaya penyelidik di institusi pengajian tinggi tempatan mengetengahkan hasil kajian dilakukan.

“Saya memilih membuat kajian terhadap buah tunjuk langit sejak tujuh tahun lalu berdasarkan pendapat profesional dari pakar bioteknologi yang menyatakan biji buah ini mengandungi banyak khasiat semula jadi yang boleh dijadikan penawar bagi membantu dan meningkatkan sistem peredaran darah dalam tubuh manusia.

“Hasil analisis makmal saya dan pasukan di UTM membuktikan pati minyak tunjuk langit yang terhasil mempunyai kandungan lemak tepu yang sangat rendah berbanding minyak kekacang lain seperti badam dan biji chia.

“Kajian antidiabetik yang dilakukan mendapati ekstrak minyak tunjuk langit mampu merendahkan paras glukos dalam darah melalui tindakan enzim, dengan beberapa testimoni pengguna awal terhadap produk prototaip yang diuji tahun lalu, menunjukkan ia mampu mengawal paras glukos dalam darah.

“Penyelidikan yang dijalankannya juga mendapati minyak ini mengandungi kandungan Omega 6 yang tinggi selain Omega 9 dan juga Beta Sitosterol yang baik untuk tenaga dan masalah penyakit prostat bagi lelaki,” katanya pada sidang media di UTM, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Liza berkata, prototaip kapsul gel lembut buah tunjuk langit ciptaannya juga berjaya memperoleh pengiktirafan sebagai produk inovasi terbaik dan mendapat pingat emas pada pertandingan inovasi peringkat antarabangsa termasuk Pecipta’19 dan Seoul International Invention Fair (SIFF) 2019.

Katanya, buah tunjuk langit sememangnya herba terkenal di Nusantara dengan kaedah konvensional pengekstarakannya sebelum ini adalah dengan menghiris buah berkenaan sebelum dikeringkan dan direndam dengan air panas untuk diminum bagi mendapat manfaatnya.

Katanya, kaedah lain termasuklah menumbuk buah berkenaan bagi mendapatkan khasiat herba itu.

“Buah tunjuk langit tumbuh dengan liar di kawasan Hutan Hujan Tropika bersuhu kering dan lembab, dan banyak ditemui di Amerika Selatan, Barat India, Kepulauan Indonesia, Fiji, Honduras, Kepulauan Solomon dan juga Malaysia.

“Kajian saintifik sebelum ini juga membuktikan terdapat kandungan flavonoid dan saponin yang tinggi dalam buah tunjuk langit yang memberikan kesan antioksida yang tinggi serta mampu membantu meredakan penyakit antaranya kencing manis, gout, sakit sendi dan darah tinggi .

“Selain itu ia dapat menurunkan kadar gula dalam darah serta membantu individu yang mempunyai masalah lebihan berat badan serta menjadi penawar penyakit migrain,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here