Penternak kerang rugi akibat pencemaran sisa lumpur

0
163

SEBERANG PERAI: Seramai 15 pengusaha ternakan kerang di Kuala Sungai Juru, di sini, kerugian sehingga RM700,000, selepas ternakan mati dipercayai akibat pencemaran sisa lumpur.

Ketua Unit B Persatuan Nelayan Kuala Juru Bahari Edin, 74, berkata kejadian yang berlaku pada 12 Mac lalu itu disyaki berpunca daripada kerja mendalamkan Sungai Juru oleh sebuah syarikat.

Katanya, lumpur yang dikorek sepatutnya dibuang ke kawasan lain tetapi syarikat terbabit membuang bahan itu di lokasi yang sama menyebabkan ternakan kerang mereka terancam.

“Penternakan meliputi kawasan seluas 69 ekar (28 hektar) dan kerang yang mati akibat pencemaran ini berusia setahun serta sudah boleh dipasarkan.

“Kami kesal kerana pihak yang diberi tanggungjawab melaksanakan projek itu tidak mengikut peraturan ditetapkan,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Bahari berkata sebelum berlaku pencemaran itu, penternak memperoleh pendapatan sehingga RM45,000 dalam tempoh 10 hari.

Namun sejak kejadian itu mereka hanya menerima RM32 dan sekarang tidak mendapat sebarang hasil kerana semua ternakan kerang mati.

“Sebelum ancaman pandemik COVID-19, hasil ternakan dieksport ke Thailand, Vietnam dan Kemboja tetapi sekarang hanya dijual di pasaran tempatan,” katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Perikanan Pulau Pinang menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap punca kejadian pencemaran terbabit.

Katanya, CAP juga meminta pihak berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh punca kejadian itu dan mendedahkan hasil ujian sampel air yang dicemari lumpur berkenaan.

“Ia perlu didedahkan kepada umum terutama bagi pengetahuan penternak yang terbabit dengan ancaman pencemaran itu.

“Pihak yang dikenal pasti menjadi punca pencemaran perlu membayar pampasan kepada penternak terbabit setimpal dengan kerugian alami,” katanya.

sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here