Perkampungan tradisional nyaris terbakar

0
105

GEORGETOWN: Tindakan pantas anggota bomba memadamkan kebakaran dua unit rumah kedai dan sebuah tokong di Pangkalan Weld di sini, pagi ini, menyelamatkan perkampungan tradisional berhampiran daripada turut terbakar.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd Tarmizi Md Jaafar, berkata perkampungan tradisional yang terdiri daripada puluhan rumah masyarakat Cina Jeti Chew di sini, hanya terletak kira-kira enam meter dari lokasi kebakaran.

Katanya, tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kebakaran itu.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai, BBP Paya Terubong dan BBP Jalan Perak dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 8.51 pagi.

“Kami berdepan kesukaran untuk ke tempat kejadian berikutan trafik di jalan utama masih sesak pada waktu puncak.

“Sebaik tiba, kami berdepan pula cuaca angin kuat namun berjaya mengawal api daripada merebak pada jam 9.15 pagi,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Tarmizi berkata, punca dan jumlah kerugian masih disiasat.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM berkata, kerja pemantauan masih dijalankan bagi memastikan punca api dipadamkan sepenuhnya.

“Kebakaran menyebabkan 40 peratus rumah kedai terbakar,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here