PGA rampas 26 tan beras seludup RM2.56 juta

0
192

PELABUHAN KLANG: Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah merampas 26 tan beras seludup dipercayai dari India bernilai RM2.56 juta termasuk cukai di sebuah stor di sini, Sabtu lalu.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed, berkata menerusi Op Kontraban itu, tiga lelaki berusia 26 hingga 38 tahun termasuk seorang lelaki warga India ditahan.

“Serbuan pertama dilakukan pada jam 12.10 tengah hari di sebuah stor di Telok Gadong dan menahan tiga individu yang sedang memunggah guni berwarna putih ke dalam sebuah lori kontena.

“Hasil serbuan, pasukan menemukan pelbagai jenama beras seberat 13 tan dipercayai tidak bercukai. Anggaran harga semasa beras yang dirampas adalah RM584,700 dengan cukai berjumlah RM762,180, ” katanya pada sidang media di Padiberas Nasional Berhad di Taman Perindustrian Bandar Sultan Suleiman hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan selanjutnya, pasukan menemui 13 tan beras yang dianggarkan bernilai RM516,670 manakala cukai dianggarkan berjumlah RM698,424.

“Hasil rampasan keseluruhan yang membabitkan 26 tan beras serta sebuah lori kontena dianggarkan berjumlah RM2.65 juta,” katanya.

Rizal berkata, lelaki warga India yang ditahan dipercayai menjadi orang tengah dan mempunyai hubungan dengan pembekal beras di negara terbabit.

Katanya, beras berkenaan dipercayai di bawa masuk untuk pasaran dalam negara dan dipercayai dijual di kedai runcit serta pasar raya kecil.

Beliau berkata, tangkapan dan rampasan ini sekali gus memutuskan antara rangkaian sindiket pengedaran beras seludup serta tidak bercukai di sekitar kawasan Klang.

“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Klang untuk proses dokumentasi dan laporan polis.

“Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Kawal Selia Padi dan Beras Selangor bagi kesalahan mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM25,000 dan semua barangan dirampas,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here