PGA rampas ikan hiasan, kura-kura Albino bernilai RM90,200

0
112

RANTAU PANJANG: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas ikan hiasan, ikan laga dan kura-kura Albino dipercayai dibawa seludup dari Thailand bernilai RM90,200 di pangkalan haram Hassan Merah, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superitenden Nor Azizan Yusof, berkata dalam kejadian jam 3 petang itu, anggota bertugas sedang membuat rondaan sebelum terserempak sebuah kenderaan jenis Nissan Latio di kawasan parkir dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota kemudian menghampiri kenderaan berkenaan dan mendapati kereta tidak berkunci selain terdapat beberapa guni putih di bahagian tempat duduk belakang dan bonet kereta itu.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kesemua guni berkenaan berisi 350 ikan hiasan iaitu jenis Mas Hitam, 545 ekor ikan laga serta 20 ekor kura-kura Albino.

“Anggota bertugas cuba mengesan pemilik kenderaam terbabit di sekitar pangkalan haram, namun gagal dan suspek dipercayai melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Kesemua haiwan dirampas dan dibawa ke Komtak Taman Bakti untuk tindakan dan siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS),” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kesemua ikan hiasan, ikan laga dan kura-kura Albino ini disyaki untuk pasaran negeri Kelantan kerana ia mempunyai peminat yang tersendiri.

“Penyeludup menjalankan kegiatan mereka dengan membawa barangan seludup merentas Sungai Golok melalui pangkalan haram, sebaik melihat keadaan bebas daripada pihak berkuasa.

“Bagaimana pun, taktik mereka sudah dikenal pasti oleh pihak PGA9 sendiri dan berjaya membanteras kegiatan mereka,” katanya.

Nor Azizan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta MAQIS 2011.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here