Pristine Offshore didakwa beri suapan RM321,350

0
279

Notice: amp_has_paired_endpoint was called incorrectly. Function called while AMP is disabled via `amp_is_enabled` filter. The service ID "paired_routing" is not recognized and cannot be retrieved. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 2.1.1.) in /home/bmfmediatv/web/bmfmediatv.com/public_html/wp-includes/functions.php on line 5313

Notice: amp_remove_paired_endpoint was called incorrectly. Function called while AMP is disabled via `amp_is_enabled` filter. The service ID "paired_routing" is not recognized and cannot be retrieved. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 2.1.1.) in /home/bmfmediatv/web/bmfmediatv.com/public_html/wp-includes/functions.php on line 5313

SHAH ALAM: Sebuah syarikat penyewaan kapal menjadi organisasi komersial pertama di negara ini didakwa mengikut Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Syarikat itu didakwa bagi kesalahan memberi suapan untuk mendapatkan kontrak penyewaan kapal bernilai RM321,350 bagi kerja-kerja cari gali minyak, tahun lalu.

Tertuduh, syarikat Pristine Offshore Sdn Bhd (Pristine Offshore) yang diwakili pengarah, Datuk Abdul Kamal Mohd Mydeen, 70, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Abdul Kamal memegang jawatan pengarah syarikat berkenaan pada Disember tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, syarikat berkenaan sebagai sebuah organisasi komersial melakukan kesalahan kerana seseorang yang bersekutu dengan syarikat itu iaitu pengarah, Chew Ben Ben, 64, (kini bekas pengarah) secara rasuah memberikan kepada Ketua Pegawai Operasi sebuah syarikat suatu suapan bagi faedah dirinya iaitu wang sejumlah RM321,350.

Suapan itu adalah untuk memperoleh perniagaan bagi syarikat itu iaitu memastikan dianugerahkan sub kontrak penyewaan kapal dalam kerja-kerja cari gali minyak.

Justeru, syarikat berkenaan melakukan kesalahan mengikut perenggan 17A(1)(a) Akta 694 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 17A(2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, ia boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM1 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi; atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun; atau kedua-duanya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 29 Jun dan 14 Oktober 2020 di Bandar Kinrara, Puchong.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib menawarkan wang jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin sama ada pegawai atau pengarah syarikat bagi memastikan kehadiran ketika perbicaraan.

Syarikat itu yang diwakili peguam Bernard Francis, Chong Ki Keong serta Azim Razak bersetuju dengan jumlah jaminan yang ditawarkan dan Abdul Kamal akan menjadi penjamin.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan pembelaan manakala tarikh sebutan semula kes ditetapkan 25 Mei depan.

Semalam, SPRM dalam kenyataan memaklumkan syarikat itu menjadi organisasi komersial pertama di negara ini yang didakwa mengikut Seksyen 17A Akta 694 sejak seksyen itu dikuatkuasakan pada 1 Jun tahun lalu.

Seksyen 17A Akta 694 (Pindaan 2018) memperuntukkan organisasi komersial juga mempunyai liabiliti dan boleh dihukum sekiranya pekerja atau pihak bersekutunya terbabit dengan jenayah rasuah.

Sementara itu, dalam perbicaraan berasingan di hadapan hakim sama, Ben Ben mengaku tidak bersalah berhubung dakwaan memberikan suapan berjumlah RM321,350 untuk memperoleh sub kontrak penyewaan kapal dalam kerja-kerja cari gali minyak, tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang ketika itu memegang jawatan pengarah syarikat Pristine Offshore secara rasuah memberikan kepada Ketua Pegawai Operasi sebuah syarikat suatu suapan bagi faedah dirinya, iaitu wang sejumlah RM 321,350.

Tertuduh melakukan suatu kesalahan mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta 694 yang boleh dihukum mengikut subseksyen 24(1) Akta yang sama.

Sabit kesalahan, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun; dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bandar Kinrara, Puchong antara 29 Jun dan 14 Oktober tahun lalu.

Terdahulu, Ahmad Akram menawarkan wang jaminan RM150,000 dengan seorang penjamin warganegara berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh yang diwakili peguam Bernard Francis, Ki Keong serta Azim bersetuju dengan jumlah jaminan yang ditawarkan bagaimanapun meminta pasport tertuduh diserahkan pada Isnin depan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan pembelaan dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan 25 Mei depan.

sumber:berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here